PENYANYI terkenal Azharina Azhar tidak terasa hati dengan komen negatif yang dilemparkan tiga juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat mengenai persembahannya menyanyikan lagu sedih dengan wajah gembira dalam konsert minggu ketiga All Stars Gegar Vaganza (ASGV) atau GV musim ke-10 malam tadi.
Dikritik juri tidak memberikan mood sedih seiring lirik lagu berkenaan, penyanyi asal Kota Kinabalu, Sabah itu, menjelaskan komen juri datang dan pergi bahkan sudah menjadi tugas mereka mencari kesalahan dan menilai persembahan setiap peserta.
“Sebenarnya saya tidak terasa hati dengan komen juri sebab itu memang tugas mereka dan dibayar untuk mencari kesilapan serta menegur kekurangan persembahan saya.
“Saya tidak pernah mengambil berat dan mengambil pusing soal komen sebab perkara itu datang dan pergi.
“Itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang anak seni mempelajari dan menerima kekurangan untuk memberikan yang terbaik,” jelasnya.
Meskipun begitu, pelantun lagu Elegi Sepi itu tidak dapat menahan sebak kerana dihimpit rasa bersalah terhadap empat orang guru yang sudah berusaha keras mengajarnya mengenai lenggok lagu keroncong.
“Saya hiba kerana tidak mampu untuk menggembirakan mereka. Saya minta maaf kerana kekhilafan ini dan tidak dapat memberikan yang terbaik,” dalam nada hiba.
“Memang ada perasaan bersalah jadi saya menghubungi guru-guru yang mengajar selepas persembahan dan menangis.
“Saya hiba kerana tidak mampu untuk menggembirakan mereka. Saya minta maaf kerana kekhilafan ini dan tidak dapat memberikan yang terbaik,” katanya sambil menyeka air mata.
Juara GV musim ketiga itu bertegas, sudah mendapat nasihat daripada empat individu berpengalaman sebelum ‘menghidangkan’ reaksi wajah gembiranya ketika mendendangkan lagu berjudul Sayang Disayang malam tadi.
Menurutnya, semua yang dipersembahkan pada konsert malam tadi sudah mendapat khidmat nasihat mereka yang pakar berkaitan seni suara termasuk muzik keroncong, antaranya guru vokal Cikgu Shafi dan penyanyi popular era 1980-an, Datuk Azizul Khamis.
“Tentang menyanyi dengan riak wajah gembira, fahaman yang diajar oleh guru saya lain. Bagi mereka jangan terlalu tunjuk wajah sedih ketika menyanyi.
“Kalau nak cakap saya menjawab pada juri, sebenarnya saya respons benda yang logik kepada juri iaitu suara ini anugerah Allah dan memang tidak boleh diubah lagi namun tetap menerima semua komen juri dengan berlapang dada,” katanya kepada Kosmo! Online selepas konsert minggu ketiga GV10 di sini, semalam.
Azharina juga sudah membuat kajian dengan lebih mendalam mengenai maksud tersirat lagi Sayang Disayang sebelum mempersembahkannya pada konsert malam tadi.
“Untuk pengetahuan semua, saya turut bertanya pada orang-orang lama dan Dewan Bahasa dan Pustaka mengenai makna di sebalik lirik lagu ini.
“Selain itu, saya juga jenis penyanyi yang akan buat ‘research’ mengenai lagu yang hendak dipersembahkan.
“Saya tak mahu jadi penyanyi bodoh iaitu menyanyi tetapi tiada pengetahuan tentang lirik sesebuah lagu,” ujarnya yang hanya berpuas hati di kedudukan 11 dengan markah juri sebanyak 58 peratus pada persembahan malam tadi.
Konsert minggu ketiga GV10 menyaksikan Jaclyn Victor selesa pada kedudukan pertama dengan pungutan markah sebanyak 76 peratus.
Kedudukan kedua dimiliki Liza Hanim dengan pungutan markah sebanyak 74.75 peratus sementara ditempat ketiga mejadi milik Naqiu (74.50 peratus).
Peserta di kedudukan tercorot, penyanyi Ayai Ilusi pula terselamat dari (ASGV) apabila tiada penyingkiran dibuat semalam.
Dalam pada itu, Konsert ASGV minggu hadapan bakal menyaksikan kesemua peserta yang mara berduet bersama artis pilihan masing-masing.
Antara barisan penyanyi yang akan menggamatkan pentas minggu keempat Ahad depan adalah Datuk M. Nasir, Ziana Zain, Liza Aziz, Misha Omar, Mamat Exist, Stacy, Marsha Milan, Vince Chong, Amir Masdi dan ramai lagi. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram