Ayai tinggalkan pentas All Stars Gegar Vaganza

HASRAT penyanyi Ayai untuk mara ke konsert minggu keenam tidak kesampaian apabila diumumkan menjadi bintang keempat tersingkir dalam program All Stars Gegar Vaganza (GV10), yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, malam ini.

Tampil menyanyikan lagu Pusara Di Lebuhraya, persembahan Ayai gagal meyakinkan juri sekali gus menduduki tangga terbawah dengan markah 53.00 peratus dan tersingkir.

“Terima kasih juri, peminat, keluarga, dan semua orang. Saya doakan yang terbaik untuk semua peserta, teruskan berjuang,” ujar Ayai.

Konsert minggu kelima GV10 menyaksikan Liza Hanim menduduki tempat pertama yang berjaya meraih markah sebanyak 70.50 peratus markah sekali gus menjadi pemenang Bintang Powercat.

Tempat kedua pula menjadi milik Naqiu dengan markah 69.75 diikut rapat Jaclyn Victor yang berada di tempat ketiga mencatat 69.00 peratus markah.

Rancangan popular itu menyaksikan kesemua bintang diadili juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Syafinaz Selamat.

Konsert GV10 diacarakan pengacara sensasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Juara GV10 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM200,000 beserta trofi sumbangan Astro. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok