“CERITA ayah saya dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) tidak benar.”
Demikian respons anak kepada penyanyi rock legenda Rahim Maarof, Jasmin Rayhan yang kesal bapanya sekali lagi menjadi mangsa penyebaran berita palsu apabila didakwa terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Jasmin ketika dihubungi HibGlam hari ini memberitahu keadaan kesihatan bapanya kini semakin baik sejak dibenarkan keluar Hospital Sungai Buloh pada April lalu.
“Memang dia pernah dirawat sebelum ini sebab darah tinggi tetapi sudah lama rehat di rumah.
“Tahap kesihatannya semakin baik sejak keluar dari hospital sebelum Aildilfitri lalu.
“Jadi sebarang berita tersebar yang mengatakan ayah saya terlantar sakit di ICU adalah palsu,” katanya.
Pada masa sama, Jasmin berharap berita palsu melibatkan kondisi kesihatan bapanya tidak lagi muncul dalam media sosial.
“Sebenarnya ada banyak salah informasi serta tajuk berita yang kurang tepat mengenai keadaan ayah saya.
“Sebagai anak, saya harap tidak lagi timbul berita mengelirukan. Kalau ayah saya masuk ICU, sudah pasti ahli keluarga yang lain sudah memaklumkan kepada saya,” katanya lagi.
Begitupun, wanita berusia 29 tahun itu juga tidak ketinggalan menzahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai yang tidak putus mendoakan kesejahteraan bapanya.
Bukan kali pertama berita palsu mengenai keadaan kesihatan tersebar, sebelum ini penyanyi berusia 68 tahun itu didakwa mengalami koma selepas menjalani pembedahan akibat serangan angin ahmar.
Rahim yang aktif dalam arena seni suara sejak 1975 cukup popular dengan rangkaian lagu malar segar seperti Jangan Kau Rayu, Usang, Cinta Kristal, Istana Menanti dan Shakila. – HIBGLAM