PENYANYI cilik, Amir Sisi serta jurulatihnya, Putera Muhammad dinobatkan sebagai juara program realiti The Chosen One musim pertama melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000, dan RM10,000 malam tadi.
Kejayaan Amir yang berdarah suku Temiar itu sekali gus menjadikannya anak Orang Asli pertama menjuarai pertandingan nyanyian kanak-kanak dalam televisyen di Malaysia.
Dengan menyanyikan lagu Kemarin, nyanyian asal Ifan (Seventeen), Amir, 12, berjaya mengetepikan tiga pencabar lain iaitu Khalyn, Erika Foo dan Raja Dayana Umayma. Mereka masing-masing merupakan anak didik kepada Hazama, Kmy Kmo dan Luca Sicta serta Shiha Zikir.
Selain wang tunai berjumlah RM30,000, Amir yang berasal dari Pos Kmear, Gerik, Perak turut membawa pulang trofi dan berpeluang merakamkan sebuah single terbitan Rocketfuel Entertainment.
Putera Muhammad selaku jurulatih pula membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.
Berbekalkan suara yang nyaring dan tinggi, nama Amir mula dikenali sejak menyertai pertandingan The Chosen One.
Malah, penyanyi Datuk Awie yang juga juri pertandingan tersebut pernah menitiskan air mata sewaktu Amir menyanyikan lagu kumpulan Raihan, Sesungguhnya.
Nyanyian penuh perasaan Amir yang tular dalam TikTok berjaya meraih lebih 150 juta tontonan.
Keunikan suara Amir bukan sahaja menyentuh hati rakyat Malaysia, malah turut tular sehingga ke Indonesia apabila ramai pempengaruh dari negara itu memuji bakat semula jadinya. – HIBGLAM