Alyph tak sokong lirik lucah, demi viral

DUNIA hip-hop dan rap sentiasa dikaitkan dengan sikap kasar, bahan terlarang, gaya hidup bebas dan tabiat negatif lain yang menjadi stigma masyarakat.

Luahan lantang, terutama oleh pencipta lagu rap antarabangsa yang menyalurkan perasaan menerusi seni kata keras dan lucah secara terbuka tanpa berlapik  tambah membentuk tanggapan negatif khalayak.

Namun, bagi pejuang hip-hop rap asal Singapura, Alyph, sejak menceburi arena muzik 18 tahun lalu, prinsip dibawa yang menjunjung adab bangsa Melayu tetap kental dipertahankan.

Pemilik nama sebenar Muhammad Alif Abdullah itu mengaku, dia cukup berhati-hati menghasilkan lirik kerana menganggap itulah amanah sebagai seorang pengkarya.

Tanggungjawab berkarya

Dia faham, muzik mudah meresap dalam sanubari pendengar era digital, terutama kanak-kanak.

Alyph tidak mahu golongan kanak-kanak terjebak dengan lirik yang bukan-bukan berikutan golongan tersebut kini  mempunyai akses mudah memasuki dunia digital, terutama TikTok yang cukup popular dalam kalangan generasi muda.

“Sebenarnya pengkarya Barat lebih terbuka. Mereka menulis apa saja demi menyuarakan isi hati atau rasa tidak puas terhadap sesuatu.

“Kita di sini lebih selesa menggunakan metafora bagi meluahkan sesuatu pandangan supaya tidak keterlaluan kerana anak seni menjadi idola kepada pendengar, khususnya golongan muda.

“Secara peribadi, saya masih berpegang kepada pinsip gunakan lirik yang diterima ramai kerana tanpa perkataan kasar atau lucah pun maksud tetap sampai,” katanya.

Ditanya mengenai teman seangkatan lain yang lebih berani menyampaikan lagu bersama lirik sensasi dengan alasan kebebasan berkarya, katanya, pendekatan sebegitu terpulang kepada pilihan masing-masing.

“Sekiranya penulis itu jujur nak sampaikan mesej lagu sehingga terpaksa menyelitkan lirik berbaur lucah supaya pendengar lebih terkesan, saya rasa perlu.

“Jika diubah, risau mesejnya tidak sampai melainkan tujuan penulis itu sengaja menggunakan lirik lucah untuk tujuan viral, itu saya tidak sokong.

“Kalau nak buat orang marah atau netizen komen, benda itu saya tidak suka, itu menjatuhkan nama hip-hop dan rap. Kami komuniti hip-hop ‘pangkah’ penulis lirik sebegitu,” ujarnya dengan tegas.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok