USAHAWAN kontroversi Datuk Seri Aliff Syukri mengundang kecaman netizen apabila dikatakan mengambil kesempatan ke atas kesengsaraan rakyat Palestin dengan mempromosikan tudung jualannya.
Menerusi video yang tular dalam Facebook, Aliff bersama beberapa individu lain termasuk isteri kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar berarak dengan berkaki ayam sambil memegang bendera Palestin dan Malaysia.
Kamera kemudian dihalakan ke wajah Aliff yang kelihatan sedih, seolah-olah bersimpati dengan nasib malang penduduk Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Ketika kamera dihalakan ke wajah Ira Kazar, wanita itu turut mempamerkan riak serupa. Bagaimanapun, tudung yang dipakai Ira bertukar kepada beberapa corak lain.
Disebalik memperjuangkan solidariti untuk mangsa peperangan di Palestin, secara halus video tersebut dihasilkan bagi tujuan mempromosikan tudung yang digayakan anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi itu.
Dalam ruangan komen, rata-rata netizen berang dan menganggap usahawan tersebut tidak sensitif dengan penderitaan yang dialami penduduk Palestin apabila mempromosikan produk keluaran syarikatnya.
“Kenapa aku nampak video ini tidak ikhlas langsung. Bukan saatnya untuk buat lawak. Tolong hormat sikit mereka (rakyat Palestin) di sana,” tegur seorang pengguna Facebook.
“Kalau iya pun nak buat promosi produk, bukan ini caranya. Dunia sedang bersimpati dan bersedih dengan rakyat Palestin,” kata seorang netizen.
“Jangan bergurau dengan kesengsaraan orang. Nanti Allah SWT terbalikkan kesengsaraan itu kepada diri sendiri,” ujar seorang lagi netizen. – HIBGLAM