Air tangan Watie ikat hati Shuib, anak

ANTARA perkara yang buat hati pelawak dan penyampai radio, Shuib, 39, gusar sebelum menyunting Watie sebagai suri hidupnya adalah apabila memikirkan apa yang akan berlaku sekiranya wanita itu tidak pandai memasak.

Ini kerana empat anaknya sangat cerewet tentang makanan.  Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad bimbang sekiranya perkara tersebut bakal memberi kesan terhadap rumah tangganya.

Kongsi Shuib, sebelum berkahwin, Watie atau nama lengkapnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah pernah menghantar nasi Arab yang dimasak sendiri ke rumah.

Apa yang membuatkan Shuib terkejut apabila hidangan air tangan wanita itu tidak boleh dimakan kerana terlalu masin, sekali gus membuatkan dia terfikir bahawa Watie tidak pandai memasak.

Namun, segala-galanya berubah selepas mereka disatukan sebagai pasangan suami isteri. Ternyata, Watie yang dianggap tidak pandai memasak, rupa-rupanya memiliki tangan ‘ajaib’.

“Tapi semuanya berubah selepas kami berkahwin. Ternyata isteri sebenarnya mempunyai kebolehan memasak yang sangat luar biasa. Walaupun lauk yang dimasaknya pertama kali dibuat, semuanya sedap.

“Apa yang dimasak Watie semua menjadi,” kata Shuib lega.

Shuib memuji kemahiran Watie di dapur bahkan semua juadah yang dimasak isterinya itu enak walaupun pertama kali menyediakannya.

Antara hidangan enak yang dimasak isterinya itu adalah seperti ayam masak asam pedas, rendang, sup tulang dan ayam masak kicap.

“Alhamdulillah, Watie pandai memasak. Bukan saya sahaja bahagia, anak-anak juga turut gembira,” jelas Shuib sambil memegang erat tangan si isteri yang ada di sisinya.

Wanita yang suka ketawa itu kemudiannya mencelah dengan mengakui dia tidaklah mahir memasak dan akan merujuk resipi terlebih dahulu dalam laman web sebelum memulakan masakan.

“Sebelum berkahwin saya makan ayam sahaja. Tapi selepas mendirikan rumah tangga, saya kena belajar memasak, sebab anak-anak suka makan. Lauk pula pelbagai.

“Selepas makan, mereka akan beri markah. Kalau dapat 100 per 100, maksudnya masakan saya memang sedap. Tapi saya tidak kecil hati jika mendapat markah kurang. Sebab dalam lima hidangan, mungkin satu sahaja yang kurang menepati selera mereka,” katanya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok