TIDAK sanggup melihat penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin ketika ini, pelakon Aeril Zafrel nekad menjual Lamborghini Aventador miliknya dan menyalurkan separuh hasil jualan kereta mewah itu kepada Persatuan Pencinta Gaza.
Katanya, keputusan tersebut dibuat berikutan kereta yang dihadiahkan isterinya, Wawa Zainal setahun lalu itu jarang digunakan.
“Selamat tinggal Lambo (Lamborghini). Jarang pakai kereta ini, jadi jual saja.
“Insya-Allah sebahagian hasil jualan ini kita derma ke Palestin,” katanya menerusi perkongsian dalam Insta Stories.
Dalam hantaran seterusnya, pemilik nama sebenar Suhairil Sunari, 35, itu turut mengucapkan selamat tinggal kepada kenderaan kesayangannya yang ketika dibeli dahulu berharga RM2.27 juta.
Menerusi video sama, dipercayai Lamborghini itu juga telah bertukar tangan kepada pemilik baharu.
“Selamat tinggal kuning (panggilan untuk kereta), ujarnya berserta emoji sedih.
Malah, ahli perniagaan yang mendapat gelaran CEO TikTok itu tidak ketinggalan menyeru orang ramai menyalurkan derma kepada saudara seagama di Gaza.
Kereta tersebut diberikan Wawa yang juga pelakon sekitar April tahun lalu sebagai penghargaan selepas enam tahun menjalankan perniagaan.
Sebulan kemudian Aeril menyuarakan hasrat mahu ‘melepaskan’ hadiah berkenaan atas alasan sudah merasa memandunya seperti diidamkan sebelum ini.
Malah isterinya juga dikatakan memberi lampu hijau selain tidak berkecil hati jika dia ingin menjual jentera terbabit. – HIBGLAM