PERISTIWA berdarah 13 Mei 1969 meninggalkan impak besar terhadap kehidupan pelakon dan pelawak, Saiful Apek yang mendedahkan disorokkan keluarga di semak sehari selepas dilahirkan.
Katanya, jika tidak ditemui seorang pemandu teksi yang terdengar tangisannya ketika melalui kawasan itu tiga hari kemudian, sudah pasti nyawanya tidak panjang.
Sejarah hitam terpisah dengan keluarga kandung mencetuskan ilham untuknya mengangkat insiden 13 Mei sebagai latar filem baharu berjudul 12 Mei.
“Judul filem biografi yang menyelitkan unsur kenegaraan ini adalah 12 Mei iaitu tarikh lahir sebenar saya tetapi disebabkan situasi ketika itu huru-hara berikutan rusuhan kaum, dalam surat beranak ditulis15 Ogos 1969.
“Peristiwa 13 Mei memisahkan saya dengan ibu bapa kandung apabila saya disorokkan dan ditinggalkan di kawasan semak sehari selepas dilahirkan sebelum dijadikan anak angkat.
“Selepas pemergian ibu angkat pada usia saya 21 tahun, baru tahu status sebenar saya. Kemudian, saya mencari keluarga kandung dan mereka menceritakan keadaan ketika saya dilahirkan apabila kami bertemu.
“Saya yakin, bukan hanya saya sahaja terkesan akibat peristiwa rusuhan yang tercatat dalam sejarah negara ini, ramai lagi individu lain menjadi mangsa. Filem ini ingin saya jadikan wadah perpaduan,” katanya kepada HibGlam.
Begitupun, pemilik nama sebenar Mohd Saifulnizam Mohammed Yusoff, 54, itu mengakui terpaksa menangguhkan dahulu pembikinan naskhah berkenaan berikutan kekangan bajet.
Katanya, berdasarkan anggaran kosnya boleh mencecah RM15 juta melihatkan latar masa era akhir 1960-an serta keperluan perincian prop dan kostum membabitkan barisan pelakon.
“Sudah pasti filem 12 Mei ini sangat bermakna kerana merupakan naskhah biografi yang menceritakan kisah hidup saya, namun masih memberi tumpuan kepada isu sekeliling.
“Cuma, untuk merealisasikan filem dengan berlatarkan era 1969 dan 1970-an bukan sesuatu yang mudah selain memerlukan dana besar serta rakan strategik.
“Harap naskhah ini dapat direalisasikan kerana ia dapat membuka mata ramai agar lebih menghargai keamanan dan perpaduan kaum,” ulasnya.
Saiful yang menceburi arena hiburan menerusi program Sinaran Pasport Kegemilangan sekitar 1994 turut mendedahkan perlu mencari pelakon sesuai untuk membawakan watak sebagai dirinya.
“Saya kena cari pelakon yang seiras saya untuk bawa watak zaman kanak-kanak, remaja hingga dewasa selain beberapa karakter penting lain.
“Aspek pengarahan pula, masih dalam pertimbangan sama ada saya akan mengarah sendiri filem ini atau orang lain. Kita tengok nanti, tetapi paling utama sekarang adalah mencari dana,” katanya. – HIBGLAM