[VIDEO] Sistem bidaan nombor plat lemah, Sharnaaz Ahmad tegur JPJ

PELAKON, Sharnaaz Ahmad meluahkan rasa kecewa terhadap kelemahan sistem bidaan nombor plat kendalian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), JPJeBid yang mengakibatkan ‘scalper’ atau ulat mengambil kesempatan.

Katanya, penambahbaikan terhadap sistem bidaan yang kurang efisian perlu dilaksanakan segera bagi membolehkan semua pembida mendapat peluang sama rata, bukan dimonopoli pihak tertentu.

“Saya dah lama nak cakap pasal benda ini tapi tidak terkeluar. Hari ini dan semalam saya panas hati dengan JPJeBid.

“Sistem hangpa (kamu) terlampau jahanam. Minta maaf cakap kepada Pengarah JPJ yang saya hormati, sistem ini memang betul-betul sampah.

“Lagi satu saya nak tanya berapa ramai orang awam menang bidaan nombor? Ramai ‘scalper’ menang. Kenapa buka sistem ini kalau nak bagi mereka saja yang dapat.

“Paling tak faham macam mana ‘scalper’ boleh dapat secara pukal? Satu nama boleh bida dan menang 10 nombor?,” katanya menerusi video dalam Instagram.

Menurut pelakon Polis Evo 3 itu, dia bersuara bersandarkan bukti apabila terdapat pihak yang dapat nombor dalam senarai bidaan menawarkan harga tinggi kepadanya.

“Mereka ini ‘pasang’ komputer banyak-banyak, akhir sekali kita tak boleh masuk sistem. Kita punya ‘bid’ sangkut, depa (mereka) pula boleh masuk.

“Macam mana sistem yang hangpa pakai JPJ, sekarang ini boleh tak buat sistem yang betul-betul adil, telus kepada semua rakyat Malaysia dan pemegang kad pengenalan.

“Kita bayar. Nombor biasa-biasa saja tapi itu pun kena sapu. Kalau kami nak beli nombor yang kami nak, kena beli pula dengan depa ‘scalper’ yang dah naikkan harga. DM (mesej) nak jual pada saya di Facebook.

“Mana keadilannya, contoh dia bida RM3,000, nak jual RM5,000. Dia untung RM2,000. Mereka ini pula bergerak sebagai syarikat, memang orang perseorangan tak dapat lawan,” ulasnya.

Tambah aktor berusia 38 tahun itu, teguran dibuat supaya JPJ peka terhadap isu sama yang telah berlaku sejak sistem tersebut diperkenalkan pada 2019.

Kata Sharnaaz, mana-mana pihak atau individu yang membida secara pukal perlu dihentikan selain memohon sistem ditambah baik agar pelantar tidak tersekat ketika trafik masuk secara serentak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok