[VIDEO] One Piece, satu ‘keajaiban dunia’

SEBELUM One Piece meluncurkan versi ‘live-action’ menerusi Netflix, penulis harus mengakui agak skeptikal dengan hasil terjemahan karya anime atau manga tersebut.

Masakan tidak, kebanyakan adaptasi negara Barat terhadap karya-karya Asia terutama Jepun berakhir dengan kekecewaan sebelum ini. Lihat sahaja Power Rangers dan Dragon Ball yang pernah didokumentasikan dalam bentuk filem. Longlai semuanya.

Bagaimanapun, tanggapan tersebut ternyata jauh meleset selepas hanya menonton episod pertama One Piece yang merupakan siri berbajet besar Netflix.

Difahamkan, satu episod One Piece memakan kos sekitar AS$17 juta (RM79.8 juta). Itu adalah satu pelaburan yang sangat besar datang daripada produksi kerjasama antara Kaji Productions, Tomorrow Studios, Shueisha dan Netflix.

ONE Peace menggandingkan pelakon muda berbakat besar dan bertepatan dengan karakter masing-masing.

Bercakap tentang kualiti yang dicernakan, One Piece merupakan satu keajaiban terhebat global yang berjaya dikongsikan kepada penduduk dunia dengan kemenjadian sangat luar biasa.

Penulis sebenarnya ‘ternganga’ dengan hampir keseluruhan kecemerlangan musim pertamanya. Dari segi naratif, teknik janaan komputer (CGI), terjemahan karakter, aksi, permainan emosi, sinematografi termasuk ‘colour grading’ serta efek bunyi, semuanya sempurna.

Dua episod pertama One Piece membuatkan sesiapa yang menonton rasa ‘tidak mahu’ meneruskan menjadi saksi pengembaraan Monkey D. Luffy dan rakan-rakannya. Mengapa? Kerana enggan hari-hari berlalu sepi menunggu barangkali lagi setahun dua untuk musim kedua atau selanjutnya diluncurkan.

Dari segi plot, buat peminat anime One Piece barangkali sudah tahu corak atau jalan cerita namun ini versi ‘live-action’ dan tentunya adrenalin yang menderas dalam jiwa berbeza berbanding menonton bentuk animasi atau kartun.

Watak Luffy yang dijayakan pelakon kelahiran Mexico, Inaki Godoy sangat bertepatan. Dia berjaya menghidupkan mood karakter seorang anak muda yang bercita-cita tinggi menjadi lanun terhebat dunia.

WATAK Luffy yang dijayakan bintang muda kelahiran Mexico, Inaki Godoy cukup menarik perhatian apatah lagi dengan aksi bersahaja dan nakalnya.

Kemenjadian taruhan pelakon kurang popular

Entah bagaimana magis dihasilkan pengarah, ‘keanjalan’ atau kemampuan ‘rubber-like’ fizikal Luffy dipaparkan luar biasa.

Buat penulis secara peribadi, sutradara dan mereka yang terlibat memberi keadilan yang sebaik-baiknya bukan sahaja terhadap watak Luffy, bahkan kemenjadian One Piece sebagai sebuah siri atau drama.

Watak-watak lain termasuk yang villainnya juga memberi dampak tersendiri. Karakter Zoro, Nami Usopp dan Sanji sebagai kru kapal dikepalai Luffy diadun dengan begitu baik.

Ternyata percaturan menggunakan wajah yang kurang popular adalah satu langkah bijak dan berkesan produksi.

Mackenyu yang melakonkan watak Roronoa Zoro antara yang menjadi kegilaan remaja seluruh dunia.

Ada banyak ‘villain’ dalam One Piece, namun kalau diceritakan satu per satu ulasan ini tidak akan berjela. Akan berpanjangan lebih daripada satu muka surat.

Justeru, saranan di sini, sesiapa yang belum berkesempatan menonton, silalah jalankan tanggungjawab masing-masing.

Markah penuh buat anime kesayangan ramai anak 90-an. One Piece, benar-benar satu keajaiban!

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok