HANYA kerana memandu semula kereta model lama Proton Wira, pelakon Jasmin Hamid dicemuh segelintir netizen yang menganggapnya hidup dalam kesusahan.
Aktres berusia 51 tahun itu berkata, dia pelik dengan sikap individu yang suka memperlekehkan orang lain hanya disebabkan perkara remeh terutama jenis kenderaan dipakai.
“Bila Bobob bawa saya jalan, ada segelintir manusia yang pandang senget kat saya.
“‘Takkan artis pakai Wira lama? Dah jatuh miskin ke?’ Ini antara dialog yang saya dengar walaupun saya buat-buat tak dengar. Kenapa ya? Haram ke pakai Wira lama? Kereta buruk?
“Saya okay saja pakai Wira lama, yang awak pula rasa alergik dah kenapa?” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram.
Bobob adalah gelaran untuk keretanya yang dikatakan terperuk di rumah tanpa digunakan sejak fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun baru-baru ini pelakon drama Hati Tanpa Cinta itu bersama suaminya, Nazmir Abd. Rahman membaiki kenderaan yang dikatakan mempunyai nilai sentimental sebelum memandunya.
“Saya bahagia dengan kehidupan dan cara saya. Bobob ada sentimental value (nilai sentimental). Buat yang banyak cakap tu, nak belikan kereta baharu untuk saya ke?
“Kalau tak, tutup mulut dan telinga tu rapat-rapat. Tepi sikit, Bobob nak lalu ni,” luahnya lagi sambil berseloroh.
Terdahulu, menerusi hantaran dimuat naik, Jasmin atau nama sebenarnya Jasmiah Abdul Hamid dilihat gembira berkongsi cerita mengenai Bobob sambil ditemani suaminya yang bertindak sebagai pemandu.
Menurutnya lagi, kereta berwarna merah itu sudah pun dibaiki setelah sekian lama tidak bergerak dan tersadai kira-kira empat tahun.
“Alhamdulillah ‘my Felari’ dah bangun dan bawa saya makan cendol selepas beberapa tahun dia ditidurkan sebab PKP. Nama dia Bobob,” kongsinya. – HIBGLAM
View this post on Instagram