PELUANG berkumpul dengan alumni Bintang RTM menerusi Konsert Ini Baru Bintang 2 yang berlangsung baru-baru ini mengingatkan Misha Omar detik manis menyertai pertandingan itu ketika berusia 17 tahun.
Penyanyi yang popular dengan lagu Bunga Bunga Cinta itu berkata, Bintang RTM telah menjadikan dirinya Misha Omar pada hari ini.
“Walaupun tidak bergelar juara, Bintang RTM mengajar saya banyak perkara kerana saya menerjah masuk ke arena ini pada usia 17 tahun, tanpa apa-apa pengetahuan fasal dunia muzik. Kosong.
“Saya akui banyak peluang hadir selepas itu dengan sokongan banyak pihak sehingga akhirnya saya terus berdiri di sini selepas lebih 20 tahun. Ini perjalanan panjang yang sarat warna.
“Menyertai pertandingan prestij ini juga memperkenalkan saya dengan ramai insan hebat yang sangat istimewa termasuk Allahyarham Siti Sarah Raisuddin,” ulasnya yang menjadi finalis bersama Siti Sarah bagi Bintang RTM edisi 2001.
Pada pertandingan tersebut, Azharina meraih gelaran juara, manakala naib juara dimenangi Asmidar Ahmad.
Tiada lagi perkongsian mengenai IVF
Diminta berkongsi tentang perjuangan mendapatkan seorang lagi anak, terutama zuriat perempuan, ibu kepada dua putera itu hanya berserah kepada takdir, namun tidak pernah putus harapan.
Begitupun, Misha kini mengambil pendekatan tertutup daripada terus berkongsi tentang rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang dijalani. Semua itu bagi menjaga sensitiviti suami isteri yang disahkan tiada harapan mendapat zuriat.
Menurut anak seni kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, pendedahan berkenaan rawatan IVF yang dilakukan sejak Jun 2021 melukakan banyak hati insan lain.
“Saya terima pelbagai maklum balas ramai terutama mereka yang masih berikhtiar untuk mendapatkan anak ketika mula-mula menjalani IVF. Doakan saya,” ulasnya yang bersyukur suami tercinta memberi sepenuh sokongan.
Bertemu jodoh dengan juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Idris Ezzwa, tujuh tahun dan seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir, 17.
Sekitar pertengahan tahun 2021, pelantun Cinta Adam dan Hawa itu mendedahkan telah menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan untuk hamil anak kedua.
Malah, dia turut mencipta tanda pagar #menjejakkhadeja dalam laman sosialnya sebagai rakaman pengembaraan untuk memiliki anak perempuan.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my. – HIBGLAM
View this post on Instagram