[VIDEO] Bersatu lepas 8 tahun kenal, Mizz Nina wanita sempurna buat Essam

“Kali pertama kami bertemu adalah di sebuah festival pada 2015. Saya ingat lagi dia datang kepada saya selepas saya baca puisi atas pentas.”

Demikian perkongsian penyanyi Mizz Nina mengenai detik perkenalan dengan suaminya,  Essam Muhammad yang bermula di sebuah festival pada 2015.

Kata Mizz Nina, penyanyi rap merangkap aktivis kemanusiaan kelahiran Amerika Syarikat itu memulakan perbualan dengan memuji puisi dibacakannya pada acara tersebut.

Begitupun, akui pemilik nama lengkap Shazrina Azman itu, mereka hanya berkomunikasi secara ringkas.

“Dia kata ‘Assalamualaikum, saya Essam dari Seattle. Saya suka apa yang awak sebutkan atas pentas tadi,’ dan saya balas dengan ucapan terima kasih.

“Kami cuma bercakap ringkas, itu sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis resepsi mereka yang diadakan di Ampang, kelmarin.

Mengenakan busana serba putih yang menyerlahkan seri pengantin, pasangan sama padan sama cantik itu meraih pujian ramai selepas video persandingan mereka tular.

Essam yang berkongsi kegembiraan diraikan ramai insan terdekat pula menyatakan persahabatan sepanjang tempoh berkenaan adalah berlandaskan rasa hormat antara satu sama lain.

“Detik terindah adalah lapan tahun kemudian iaitu tahun 2023 sebaik kami mendirikan rumahtangga, Alhamdulillah,” katanya.

Malah Essam juga membuat kejutan apabila merakamkan penghargaan buat suri hatinya menerusi satu video khas dengan menyifatkan Mizz Nina wanita sempurna buat dirinya.

Pada acara istimewa yang mendapat sentuhan Reka Teemor bagi penataan dewan, lelaki berdarah Maghribi itu turut menghadiahkan sebuah lagu rap buat isteri tercinta dan tetamu.

Paling mencuri tumpuan tentu saja gelagat ayah Mizz Nina, Tan Sri Azman Hashim yang tampak terhibur sepanjang persembahan apabila rancak bertepuk tangan.

Terdahulu, pada 15 Jun lalu Mizz Nina, 43, berkongsi kegembiraan dengan mendedahkan status terbaharunya sebagai isteri kepada Essam.

Majlis pernikahan anak kepada tokoh perbankan terkemuka itu difahamkan diadakan secara tertutup yang dipercayai berlangsung di luar negara.

Selepas tiga bulan, mereka diraikan pula dalam majlis resepsi yang turut menghimpunkan saudara-mara serta rakan pengantin dari Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom dan Indonesia.

Ini adalah perkahwinan keduanya yang pernah mendirikan rumah tangga dengan vokalis Hujan, Noh Salleh pada 2 Julai 201, namun jodoh mereka tidak panjang apabila memilih berpisah 4 Ogos tahun lalu.

Mizz Nina dan Noh mempunyai seorang anak angkat lelaki bernama Musa. – HIBGLAM

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok