PELAKON dan pelawak Sulaiman Yassin atau Mat Over menarik perhatian netizen apabila meninggalkan komen seolah-olah kurang senang dengan aksi mesra dan romantis aktres Janna Nick sewaktu memeluk suaminya, Dini Schatzmann di lapangan terbang, kelmarin.
Menerusi komen yang ditinggalkan, pelakon berusia 71 tahun itu menegur perbuatan Janna dan suaminya bermesra secara terbuka di tempat awam, seolah-olah ingin menunjuk kebahagiaan mereka.
“Walaupun suami isteri, tapi kalau niat ingin menunjuk-nunjuk pada orang ramai yang kita pasangan bahagia, tunggulah balasan daripada Allah SWT,” komen Mat Over.
Bagaimanapun, kata-kata yang ditinggalkan pelakon yang pernah membintangi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu tidak dipersetujui netizen apabila menganggap apa yang dilakukan Janna dan suaminya adalah perkara biasa bagi pasangan suami isteri.
Malah, ada yang berpendapat bahawa Mat Over mungkin berasa cemburu melihat kemesraan yang dikongsi pasangan selebriti yang bahagia hidup bersama itu.
“Nampak normal sahaja. Tak ada rasanya keterlaluan atau menunjuk. Walaupun bukan peminat tegar mereka (Janna dan Dini), saya rasa kurang bersetuju dengan kenyataan ini,” ujar netizen.
“Apa yang sampai nak tunggu balasan Allah? Kalau tidak boleh tengok orang senang, kena periksa semula hati kita. Bersangka baik sahajalah,” kata seorang pengguna Instagram.
“Kalau ada hasad dengki lagi susah hidup kau nanti,” kata seorang lagi netizen.
Menerusi video yang dimuat naik Janna dalam Instagram, kelihatan pasangan suami isteri itu berpelukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berpisah.
Janna yang manis bertudung dilihat tidak dapat menahan sebak apabila memberi lambaian terakhir buat Dini apabila terpaksa meninggalkan jejaka berusia 29 tahun itu selama dua minggu kerana mengerjakan umrah selain terlibat dengan penggambaran sebuah drama di Tanah Suci Makkah.
Kata Janna atau nama lengkapnya Nurul Jannah Muner, perpisahan ‘sementara’ dengan suaminya itu sangat sukar buat dirinya.
Terdahulu, pada 17 Mei 2017, Mat Over menjadi perhatian netizen apabila bertindak menampar penerbit David Teo yang sedang mengemukakan soalan semasa sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. – HIBGLAM