PELAKON, Trisha Oii berani dan tidak kisah untuk tampil berkemban dalam filem terbaharu lakonannya, Pagari Bulan, demi menjayakan watak gadis Cina bernama Sui Li.
Ujar Trisha atau nama lengkapnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 23, dia tahu penampilannya itu akan menjadi buah mulut orang ramai, namun sanggup memikul tanggungjawab tersebut atas dasar kerja.
“Untuk babak berkemban dalam filem Pagari Bulan, sebenarnya pihak produksi ada tanya dahulu sama ada saya boleh lakukannya atau tidak sebab mereka tahu saya bukanlah wanita yang berpenampilan seksi.
“Apa yang buatkan saya bersetuju untuk tampil berkemban adalah kerana watak Sui Li. Jadi, yang berkemban itu adalah dia (Sui Li), dan bukannya ‘ Trisha’,” ujarnya kepada HibGlam.
Menurut gadis yang memulakan kerjaya seni sebagai pelakon lagak ngeri itu lagi, dia hanya mahu lakukan yang terbaik bagi merealisasikan peranannya dalam Pagari Bulan yang berlatarbelakangkan zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Sebagai pelakon baharu, Trisha seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terbabit dalam apa jua kontroversi yang boleh menjejaskan namanya dalam industri.
“Saya hanya mahu lakukan yang terbaik untuk watak Sui Li bagi menghidupkan lagi jalan cerita. Mula-mula dapat skrip, saya terus jatuh cinta.
“Sebagai pelakon baharu, saya masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri dalam bidang ini. Saya memang menjaga diri dengan baik supaya tidak terjebak dengan sebarang kontroversi.
“Apa yang boleh saya elak, saya akan elakkan termasuklah aspek pemakaian dan pergaulan. Saya berada dalam industri untuk menjual dan berkongsi bakat saya,” jelasnya.
Pada masa sama, Trisha yang ditemui semasa sidang media promosi filem Pagari Bulan di Pavilion Bukit Jalil baru-baru ini bersyukur apabila kehadirannya dalam industri disambut baik walaupun masih ‘hijau’.
“Syukur orang menerima baik kehadiran saya dalam industri walaupun saya masih baru. Saya juga berharap orang ramai boleh menerima bakat lakonan saya,” katanya. – HIBGLAM