Trauma kisah silam, Nelissa Nizam menggigil baca skrip

PERNAH menjadi mangsa gangguan seksual di awal pembabitan dalam industri seni, pelakon Nelissa Nizam mengakui masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.

Pemilik nama lengkap Nelissa Edreena Nizam itu berkata, ketika kejadian dia masih ‘hijau’  untuk memahami sepak terajang dunia seni dan terpaksa menjadi peramah kerana bimbang dicop sombong.

“Saya sentiasa cuba untuk bersikap peramah agar orang senang dengan saya. Namun, kadang-kadang apabila terlalu baik, orang akan salah tafsir.

“Ada invididu yang cuba tarik saya dan buat perkara yang melampaui batas sehingga saya jadi trauma.

“Ketika itu saya masih budak dan mentah, dapat pula orang yang lebih berkuasa dan besar daripada kita, senang sahaja untuk dia ambil kesempatan,” ujarnya kepada HibGlam.

Susulan kejadian tersebut, aktres berusia 25 tahun itu mendedahkan dirinya mengambil masa yang lama untuk benar-benar mendalami watak Saleha yang dilakonkan dalam Siri Astro Original, Riot kerana jalan ceritanya mengingatkan dia kepada  peristiwa hitam itu.

Bahkan Nelissa mengakui, badannya menggigil trauma ketika membaca skrip berikutan watak itu dekat dengan dirinya.

“Menggigil ketika baca skrip sebab saya pun pernah alamai apa yang watak ini lalui.

“Pengalaman saya sama macam babak siri Riot yang mana digambarkan kejadian berlaku dalam kereta.  Macam ‘flashback’ apa yang berlaku kepada saya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sidang media drama Riot, baru-baru ini.

Bagaimanapun, pelakon asal Kuala Lumpur itu bersyukur dikelilingi pelakon senior yang sangat membantu selain menghormatinya dirinya sebagai perempuan.

“Syukur, pelakon lain seperti abang Rashidi Ishak sangat profesional menggalas wataknya bahkan dia  meminta izin untuk menyentuh saya.

“Kami ada berbincang sebelum penggambaran bermula, dekat mana mahu pegang dan sebagainya untuk lebih selesa dan tidak berlebihan,” katanya.

Semalam, pelakon dan pengacara popular, Che Puan Sarimah Ibrahim tampil berkongsi dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika awal kemunculannya dalam industri.

Selain Nelissa dan Rashidi Ishak, Riot turut dibintangi  Sarimah, Iedil Dzuhrie Alaudin, Amanda Ang, Sue Tan dan Nasir Alaydrus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok