Tolak tawaran berlakon demi anak – Awal Ashaari

LAMA Awal Ashaari tidak muncul berkarya dalam layar lebar mahu pun layar kaca, hanya sesekali sahaja wajahnya menyerikan acara hiburan atau program televisyen sebagai pengacara.

Bukan kerana sudah tidak laris atau meletakkan titik noktah terhadap kerjaya lakonan, namun Awal sendiri memilih untuk memperlahankan rentaknya dalam bidang lakonan dek kekangan masa menguruskan keluarga.

Lelaki berusia 42 tahun itu mengakui kesukaran paling utamanya adalah berkompromi dengan durasi panjang di lokasi penggambaran.

“Saya masih minat dan tidak pernah putus menerima tawaran berlakon. Cuma saya terpaksa menolak kerana mahu mengutamakan kehidupan peribadi bersama keluarga.

“Saya tabik kepada pelakon yang ada daya kesabaran dan ketahanan tinggi. Kalau di lokasi, saya kadang-kadang terfikir kenapa mereka boleh bekerja dalam tempoh sangat panjang.

“Sekarang, sebenarnya saya tak boleh bertoleransi dengan perkara itu (masa). Saya ada komitmen, hantar anak ke sekolah dan jaga mereka di rumah. Jadi, saya lebih memilih kerjaya yang tidak makan masa,” katanya.

Pada masa sama, pelakon yang pernah membintangi filem Impak Maksima itu juga mahu mengutamakan kesihatan mental apabila melakukan kerja yang lebih disukainya iaitu mengacara.

“Untuk tawaran pengacaraan, memang saya jarang tolak. Saya sebenarnya lebih selesa menjadi pengacara. Kalau tolak pun mungkin sebab tawaran itu ‘bertembung’ dengan kerja lain.

“Saya lebih suka mengacara kerana kepuasan serta kegembiraan mental,” katanya.

Sebagai bapa kepada dua orang puteri, Awal berkata, masa bersama keluarga menjadi keutamaan dirinya kini.

Memandangkan puteri-puteri kesayangannya, Lara Alana dan Lyla Amina yang masing-masing kini berusia 9 dan 2 tahun masih kecil, justeru perhatian lebih perlu diberikan terhadap mereka.

Disoal tentang perancangan untuk menambah anak, khususnya menimang cahaya mata lelaki, jujurnya Awal mengakui, tidak merancang ke arah itu atas beberapa faktor.

Kata pemilik nama lengkap Ahmad Awaluddin Ashaari itu, tugas membesarkan dua orang anak buat masa ini sudah dianggap mencabar dan memerlukan komitmen tinggi daripada segi masa dan kos.

“Untuk menambah bilangan cahaya mata, saya ada bercakap dengan Scha Alyahya, cukuplah dua anak.

“Ketika anak masih kecil, memang seronok melayan. Tapi apabila mereka semakin membesar, ada satu tanggungjawab yang perlu kita lakukan dengan sempurna.

“Sebagai ibu bapa, kami perlu menyediakan yang terbaik untuk anak-anak selain perlu memastikan kesihatan mental mereka terjaga.

“Sebab saya dan isteri memang sibuk. Keluar pagi, balik malam,” jelasnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok