MENEGUR tanpa menyatakan nama mana-mana pihak bukan hal aneh dalam kalangan penggiat seni tanah air dan itu yang dilakukan Tiz Zaqyah baru-baru ini dalam aplikasi X.
Menerusi perkongsian tersebut, Tiz dilihat seperti memberi teguran terhadap pendatang baharu agar sentiasa memberi yang terbaik ketika bekerja.
“Wahai pelapis yang cantik manis dan kacak, kerjalah betul-betul. Bukan setakat main cinta dan masuk televisyen sahaja.
“Jangan bergurau sahaja di set penggambaran. Beli jiwa dan berikan yang terbaik.
“Saya pun mula daripada drama televisyen, gaji kecil malah stesen televisyen pun pernah ‘reject’ nama sebab bukan sesiapa tetapi saya buktikan mereka salah,” katanya.
Pedih juga nasihat tersebut tetapi memang berguna untuk artis baharu zaman sekarang.
Diva pun setuju juga kalau Tiz selalu tegur disiplin segelintir pendatang baharu sebab memang ada yang bermasalah dan sombong lain macam walaupun baru berlakon satu cerita sahaja.
DIVA: Seronok tengok pasangan artis bercerai sebelum ini iaitu Noh dan Mizz Nina yang masing-masing sudah bertemu jodoh baharu.