Terbaik! Kuda putih hadiah hari jadi Intan Najuwa

SEMPENA ulang tahun kelahiran yang ke-26 tahun, pelakon Datin Intan Najuwa menerima seekor kuda putih sebagai hadiah istimewa daripada suaminya,Datuk Ahmad Asraf Azman.

Menerusi sebuah hantaran video yang dimuat naik dalam akaun TikTok, pemilik nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid berkongsi video memaparkan dia bersama kuda yang diberi nama Trulala.

“Hadiah hari lahir yang paling terbaik daripada suami. Selamat datang ke keluarga kami, Trulala,” katanya ringkas dalam ruangan kapsyen.

Susulan itu, rata-rata netizen turut menzahirkan rasa teruja dan tumpang gembira melihat hadiah tersebut dan menyifatkan kehidupan Intan tak ubah dilayan seperti seorang puteri.

“Meganya hadiah hari lahir Intan, awak memang dijaga lelaki yang tepat, saya tumpang gembira melihat kebahagiaan awak,” komen seorang peminat.

“Kehidupan Intan macam seorang puteri dalam kisah dongeng, sempurna dan bahagia menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri yang saling melengkapi,” demikian komen seorang lagi netizen.

Intan mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan tersebut pada 18 Ogos lalu di Desaru Coast, Johor dan menerima wang hantaran sebanyak RM222,000.

Meskipun menjadi suri hati kepada lelaki berpangkat Datuk, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu lebih selesa dipanggil Intan kerana menurutnya, gelaran baginya semua manusia sama sahaja di sisi Yang Maha Pencipta. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok