Tebus sarat aksi, angkat tema kasih sayang

SELAIN misi menjunjung keunikan Sarawak dalam karya tempatan, naskhah terbaharu terbitan Vian Media berjudul Tebus turut mengetengahkan isu pemerdagangan dan pasaran gelap organ badan manusia.

Mula ditayangkan sejak 31 Ogos lalu menerusi platform Prime Video, Tebus secara peribadinya bukan sebuah karya klise.

Menurut pengarahnya, Jason Chong, isu penjualan organ badan di pasaran gelap sering dipaparkan dalam filem-filem antarabangsa tetapi kurang diketengahkan menerusi karya tempatan.

“Saya lihat isu ini sangat besar dan pelbagai isu boleh dikaitkan dan saya memilih untuk menggunakan nilai kasih sayang dalam sebuah institusi kekeluargaan.

“Kami juga ingin membuka mata mengenai pendermaan organ yang realitinya boleh menyelamatkan jutaan nyawa manusia,” katanya pada sidang akhbar filem tersebut baru-baru ini.

SUTRADARA, Jason Chong memilih Sarawak sebagai lokasi penggambaran kerana mahu memperkenalkan keindahan negeri itu di mata dunia.

Memilih Sarawak sebagai lokasi penggambaran, Jason nampaknya belum puas mengetengahkan keunikan dan kebudayaan negeri tersebut selepas filem Sumpahan Jerunei.

Katanya, penggambaran Tebus di Sarawak berjalan selama sebulan, meliputi beberapa daerah termasuk Kuching.

“Tak banyak penggiat filem tempatan menggunakan Sarawak sebagai latar tempat dalam naskhah mereka.

“Ini merupakan peluang untuk memperkenalkan negeri yang kaya dengan budaya, flora dan fauna itu ke mata dunia, tambahan pula Tebus ditayangkan dalam platform Prime yang ditonton di seluruh pelosok dunia,” jelasnya.

Aedy Ashraf, Idan Aedan dan Ahirine Ahiruddin serasi bersama mencorak watak masing-masing dalam Tebus.

Ditanya mengenai tapisan untuk sesetengah babak, Jason memberitahu semuanya dilakukan secara sendiri tanpa melibatkan pelakon gantian.

Jelasnya, perkara itu dilakukan secara logik akal dengan memikirkan filem tersebut untuk tontonan semua lapisan umur.

“Kami tidak melalui mana-mana saringan atau tapisan pihak tertentu memandangkan Tebus ditayang dalam platform penstriman atau Over-The-Top (OTT).

“Namun, saya meletakkan diri saya sebagai penonton dan memilih untuk tidak menghasilkan babak yang kurang bersesuaian sekiranya ditonton oleh kanak-kanak.

“Kalau ada babak yang tidak okey atau kurang sesuai, memang akan elak dan tapis sendiri,” ujarnya.

MENERUSI naskhah ini, Azhan Rani berpeluang ‘bermain’ dengan watak antagonis sebagai Bakar.

Sementara itu, pelakon filem tersebut, Azhan Rani berkongsi keterujaan apabila berpeluang menjalani penggambaran di Sarawak.

Sebagai bekas penuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), kembali ke negeri tersebut ibarat mengimbau memori lama.

“Saya rasa sangat bertuah kerana dapat kembali negeri yang pernah saya menuntut ilmu.

“Sarawak juga memang dalam senarai lokasi impian untuk saya jalani penggambaran atau bekerja dan kini sudah tercapai,” ujarnya.

Bercerita mengenai penglibatannya dalam Tebus, Azhan menyifatkan naskhah berkenaan memberinya peluang ‘bermain’ dengan watak antagonis sebagai Bakar.

Bukan watak yang terlalu ganas tetapi dia seronok apabila pengarah memberinya kebebasan untuk melahirkan ‘mood jahatnya’ sendiri.

“Saya pegang watak antagonis yang tidaklah terlalu melibatkan banyak aksi tetapi lebih ke arah permainan emosi.

“Banyak babak yang tidak pernah saya jayakan dalam naskhah lain tetapi dilakukan dalam Tebus seperti disolek. Ini satu-satunya filem saya didandan menjadi sangat ‘jelita’.

“Selain itu, babak dimasukkan dalam tempat pembakaran mayat atau krematorium juga antara yang saya seronok walaupun sangat panas,” kongsinya.

Selain Azhan, Tebus turut menampilkan Aedy Ashraf, Ahirine Ahiruddin, Idan Aedan, Jay Iswazir dan Marisa Yasmin.

Tebus mengisahkan seorang pengawal keselamatan, Johan lakonan Aedy yang menculik pewaris barangan kemas, Ana (Ahirine) bagi mendapatkan jantung di pasaran gelap untuk adiknya, Jalil (Idan).

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok