SELEPAS jari kaki kirinya dipotong kerana masalah kencing manis, penyanyi Bad Indigo kini berdepan dengan masalah saraf sehingga bahagian tapak kakinya membengkok.
Keadaan itu sekali gus membuatkan Bad atau nama lengkapnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, sukar untuk berjalan kerana akan berasa sakit ketika melangkah.
Bagi mengatasi masalah tersebut, Bad yang ditemui HibGlam memberitahu dia kini dalam usaha untuk membeli penyangga kaki khas atau ‘X-leg’ yang hanya boleh didapati di Amerika Syarikat (AS) pada harga RM5,000.
“X-leg bukan kaki palsu, tetapi sistem sokongan untuk memudahkan pergerakkan bagi mereka yang mempunyai masalah tapak kaki tidak rata seperti saya alami sekarang. Harganya RM5,000.
“Saya tahu mengenainya menerusi YouTube. Cuma masalah sekarang, pihak pengeluar tidak menghantar barang itu ke luar negara.
“Mahu tidak mahu, saya kena cari jalan mendapatkan X-leg itu yang hanya diperolehi dari California, AS. Tapi saya tiada kenalan,” katanya kepada HibGlam.
Anggota kumpulan Indigo itu turut memaklumkan di pasaran memang ada dijual produk seakan sama, namun jenis yang ingin dibeli itu khusus untuk tapak kaki.
“Saya sudah berhubung dengan pengeluar bagi mengenal pasti perincian produk terbabit. Cuma kena tunggu lagi sehingga dapat cara menghantarnya ke sini.
“Kalau dapat beli alat itu, mudahlah saya bergerak dan terima undangan nyanyian. Sekarang ini penganjur tak panggil mungkin mereka takut menyusahkan saya naik ke pentas sebab berkerusi roda.
“Banyak pentas tiada lagi kemudahan tanjakan untuk kerusi roda. Jadi alat itu boleh tolong saya berdiri dan jalan tanpa perlu berpijak, sekaligus boleh gunakan tangga,” ulasnya.
Terdahulu, Bad yang kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis mengakui rasa sakit untuk berjalan.
Bagaimanapun, masalah yang dilalui Bad tidak menjadi alasan untuk dia malas keluar bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah bengkel kereta sejak awal tahun lalu.
Ditanya mengenai bantuan agensi berkaitan, katanya jika ada keperluan seperti membeli X-leg baru dia akan mengemukakan permohonan meminta bantuan kewangan.
“Sebelum ini memang ada yang bertanya sama ada saya ada menerima bantuan bulanan, tetapi buat masa ini saya masih boleh bekerja jadi belum ada keperluan berbuat demikian.
“Tengok nanti macam mana. Bagi pembelian X-leg pula, sekarang pun saya masih belum dapat apa-apa pengesahan. Kalau sudah sahih saya akan buat permohonan,” katanya. -HIBGLAM