PENYANYI rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice mengesahkan sudah memberi keterangan selama enam jam bagi membantu siasatan berikutan laporan dibuat pendakwah Ebit Lew mengenai fitnah melampau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor, semalam.
Kata pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu, tiada apa perlu dibimbangkan berhubung kesahihan bukti memandangkan pempengaruh Indonesia, Mondy Tatto yang mendakwa berhadapan gangguan seksual individu dimaksudkan telah menandatangi perjanjian sebelum podcast kendaliannya disiarkan.
“Semalam, saya, Mondy dan beberapa kakitangan hadir memberi keterangan selama enam jam di IPK Shah Alam, Selangor bersandarkan pengisian podcast yang tular.
“Hari ini empat lagi kakitangan syarikat saya diminta hadir memberi keterangan mereka. Setakat ini kami tunggu sahaja perkembangan lanjut.
“Mengenai bukti, selain membuat laporan polis dan menghantar Mondy menjalani ujian psikiatrik profesional, Mondy telah menandatangi perjanjian yang mengesahkan semua dakwaan berhubung gangguan seksual itu benar,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumumannya sebagai duta suplemen lelaki ThorX, hari ini.
Berhubung dakwaan mengada-adakan tuduhan berlakunya gangguan seksual, Caprice menafikan pihaknya membayar wanita berusia 20-an itu untuk berbohong apatah lagi menjatuhkan mana-mana pihak.
“Kali ini kami tidak memberi ruang pihak lain dengan mudah menganggap kami menipu. Ketika kali pertama Mondy tiba di Malaysia, kami sudah rakam perbualan secara senyap kerana waktu itu pun dia sudah mula berkongsi serba sedikit apa yang dilalui.
“Kalau saya nak reka cerita, takkan saya nak rakam senyap-senyap. Lebih baik saya suruh dia berlakon di hadapan kamera dan secara logik saya nak bayar, lebih baik saya cari mangsa yang masyarakat mudah percaya.
“Antaranya macam wanita bertudung, alim, atau penghafaz al-Quran. Itu lagi mudah untuk masyarakat percaya tetapi wanita yang saya bantu ini bertatu selain di sana ‘punk’ dianggap sebagai kasta rendah.
Buat apa saya nak seksa diri dan keluarga semata-mata mahu membela orang yang dianggap daripada kasta rendah,” katanya lagi.
Kelmarin, Ebit Lew tampil membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku fitnah melampau terhadapnya.
Pendakwah sensasi itu menerusi hantaran di Instagram memaklumkan laporan polis dibuat sebaik beliau tiba dari Jeddah, Arab Saudi, Isnin lalu kira-kira pukul 12 tengah malam.
Laporan polis itu dipercayai dilakukan selepas tular di media sosial satu rakaman wawancara bersama seorang wanita dari negara jiran yang pernah dibantu.
Wanita dikatakannya sebagai gelandangan itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika kali pertama tiba di Malaysia, sekitar Jun lalu. – HIBGLAM