Syukur ramai bantu saya – Zaiton Sameon

BAGAI bulan jatuh ke riba, penyanyi veteran Zaiton Sameon bersyukur ramai tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban hidupnya sejak beberapa hari lalu.

Zaiton mengakui tidak menyangka ramai prihatin akan nasibnya seperti yang disuarakan sebelum ini.

“Saya cuma nak ucapkan syukur kepada Tuhan kerana memberi rezeki yang tidak putus-putus buat saya ketika ini.

“Sejak perkongsian tempoh hari, memang ramai hubungi saya. Rasa terharu dan sebak apabila ramai hadir menghulurkan bantuan,” katanya kepada HibGlam di majlis ulang tahun ke-18 mStar dan pelancaran mStar Baek di sini, semalam.

Dia yang terkenal menerusi lagu Menaruh Harapan memberitahu kebanyakan bantuan yang diterima adalah dalam bentuk wang tunai.

“Saya banyak terima wang tunai. Insya-Allah bantuan rumah masih dalam proses.

“Selepas cerita mengenai saya tular, ramai berlumba-lumba nak beri bantuan,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia juga menegaskan masih mampu menyanyi sekali gus terbuka menerima jemputan daripada mana-mana pihak untuk menjayakan persembahan.

“Selain bantuan kewangan, ada juga tawaran nyanyian untuk beberapa majlis. Kalau nak tahu, saya masih lagi boleh menyanyi. Saya boleh lakukan persembahan selama sejam.

“Kalau orang minta tiga atau empat lagu, saya beri lima hingga enam lagu sebab mahu semua rasa puas menonton persembahan.

Apapun, selagi orang nak lihat saya menyanyi, saya akan teruskan kerjaya ini,” katanya lagi.

Terdahulu, penyanyi berusia 67 tahun itu dalam satu temu bual mendedahkan amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Selain bantuan kewangan dia juga memohon bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur tahun lalu, namun hingga kini masih tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan.

Mengimbau kisah hidupnya, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, 13, meninggal dunia.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini parah di bahagian kepala dalam nahas itu hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok