SERIUS menguruskan karier tanpa bernaung bawah mana-mana syarikat pengurusan, pelakon yang kian mendapat tempat di hati peminat, Siti Khadijah mengakui belum bersedia mendapatkan khidmat pengurus atau pembantu peribadi mengendalikan jadual seninya.
Masalah utama yang berlegar dalam fikiran, anak jati Kuala Lumpur berusia 26 tahun itu sukar menaruh kepercayaan terhadap orang lain.
Meskipun tidak pernah menjadi mangsa khianat atau berdepan insiden buruk, pemilik nama penuh Siti Khadijah Abdul Halim mengaku perkara yang cukup dirisaukan adalah soal menjaga aib dan kewangan.
“Saya tiada pengurus dan bergerak sendiri sahaja. Sebenarnya, saya pilih uruskan diri sendiri disebabkan ada isu kepercayaan (terhadap orang lain) walaupun belum pernah berdepan insiden ditipu.
“Saya ada isu kepercayaan kerana takut membabitkan soal duit dan aib. Saya jenis terbuka, tetapi apabila dewasa, baru saya sedar ada macam-macam jenis orang. Jadi, saya perlu berhati-hati.
“Sebelum jadi pelakon, saya adalah pempengaruh media sosial dan pernah suatu pertandingan saya menang dan ditawarkan menyertai sebuah syarikat produksi.
“Jadi, apabila kontrak tamat selepas dua tahun, saya lebih selesa bawa diri sendirian,” katanya
Bagaimanapun, pelakon yang mula meraih perhatian ramai melalui drama Dia Yang Ku Cinta itu mengaku agak terbeban kerana perlu menguruskan pelbagai urusan secara bersendirian.
Justeru, aktres jelita itu tidak menolak kemungkinan mendapatkan khidmat pengurus, suatu hari nanti.
“Sejujurnya, saya memang mahu cari pengurus sebab agak letih uruskan semua perkara. Saya buat semua benda sendirian termasuk ketika menjalani penggambaran di luar negara.
“Jadi, kalau saya ada pengurus nanti, saya mahu seorang yang tinggi, berkulit gelap dan kacak jadi pengurus,” katanya berseloroh seraya tertawa kecil.
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my