Sudah ada kekasih, Naim Daniel kini bahagia

PENYANYI, Naim Daniel mengakui hatinya sudah menjadi kepunyaan seorang wanita yang terlibat dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, pelantun lagu Sumpah itu enggan mendedahkan secara terperinci identiti pencuri hatinya itu.

“Saya dalam fasa mengenali hati budi seseorang dalam industri seni. Lama juga kami berkenalan.

“Yang kelakarnya kami bukan kerja sekali pun, tetapi apa yang boleh saya katakan, saya dah jumpa orang yang sama-sama gila.

“Cuma, saya tidak mahu terlalu teruja. Ayah kata kalau seronok sangat pun nanti menangis,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Patah Hati 2.0 di sini, semalam.

Bercerita lanjut, Naim atau nama lengkapnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, berkata hatinya terbuka untuk wanita itu kerana mereka satu kepala dan sudah mengenali keluarga masing-masing.

“Dia sangat baik. Keluarga pun baik. Disebabkan dia gila-gila juga, jadi saya okey.

“Keluarga pun sudah tahu tentang kami tetapi kami belum maklumkan hubungan ini secara rasmi.

“Paling utama buat masa ini kami ingin mengekalkan hubungan baik antara keluarga,” kongsinya.

Ditebak mengenai perancangan menamatkan zaman bujang, pelakon drama Projek: High Council itu mengakui belum memikirkan perkara itu kerana masih banyak perkara lain yang perlu diberi perhatian buat masa ini.

“Kami pun baru sahaja mengenali hati budi masing-masing. Memang ada rasa mahu kahwin tetapi apabila bercakap soal ini banyak benda kena fikir lagi,” katanya.

Sebelum ini, Naim pernah dikatakan bercinta dengan beberapa rakan selebriti iaitu Sasha Abedul, Bungaisme dan Iman Troye.

Namun, anak jati Negeri Sembilan itu menafikan desas-desus terbabit dengan menjelaskan mereka hanya berkawan baik.

Dalam perkembangan lain, Naim terharu dilamar beraksi dalam konsert Patah Hati 2.0 buat kali kedua.

“Saya tidak sangka, dalam media sosial penganjur kata peminat mahukan saya lagi.

“Mungkin sebab saya suka bina hubungan rapat dengan pengunjung yang datang, jadi daripada situ mereka nampak saya bagi tenaga sama kepada mereka.

“Setiap acara saya akan buat macam itu.  Orang bayar untuk tengok kita, jadi kita pun tak boleh berkira,” katanya.

Selain Naim, konsert Patah Hati 2.0 yang bakal berlangsung pada 23 November depan turut membariskan penyanyi Ismail Izzani, Aisha Retno, Bunkface, Neeta dan Nadeera. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok