ST12, Nidji gegarkan Sabah 21 Oktober

DUA kumpulan gergasi Indonesia, ST12 dan Nidji bergabung di atas satu pentas bagi menghiburkan penggemarnya menerusi Konsert ST12 dan Nidji Live in Sabah.

Bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Oktober depan, konsert berkenaan dibawakan oleh ZR Project dan MW Pertama.

Pengarah Urusan MW Pertama, Nabiha Aimi berkata, pemilihan Nidji dan ST12 adalah keputusan yang tepat kerana dua band itu punya peminat yang ramai di nusantara termasuk Sabah.

Nabiha berkata, pihaknya menjanjikan sebuah persembahan yang luar biasa berikutan jarang dua band yang memiliki nama besar di Indonesia digabungkan dalam konsert berskala besar.

Pengarah Urusan MW Pertama, Nabiha Aimi dan Zizan Razak selaku Pengarah Urusan ZR Project selaku penganjur konsert ST12 dan Nidji Live in Sabah.

“Mungkin peminat hanya pernah melihat dua band ini beraksi dalam konsert solo tetapi kita mahu bawa kelainan buat penggemar mereka di Sabah.

“Malahan, pemilihan Sabah sebagai lokasi konsert juga tepat kerana kepelbagaian budaya dan muzik yang ada di negeri ini boleh dipertontonkan kepada pemuzik luar.

“Penonton yang hadir ke konsert itu nanti bukan sahaja boleh mendengar lagu-lagu daripada ST12 dan Nidji tetapi turut disajikan persembahan istimewa. Mungkin mereka juga akan menyanyikan lagu genre tempatan Sabah,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert terbabit baru-baru ini.

Sementara itu, Zizan Razak yang juga Pengarah Urusan ZR Project memaklumkan dirinya merancang untuk turut sama membuat persembahan pada malam konsert itu nanti namun perkara itu belum diputuskan buat masa ini.

“Perancangan memang ada namun saya belum bincang secara mendalam dengan pihak Nidji mahupun pun ST12.

“Perkara itu mungkin berlaku tetapi paling penting apa yang saya boleh katakan persembahan nanti luar biasa,” kata pelantun lagu Infiniti Cinta, Bawaku Pergi serta Chentaku itu.

Zizan Razak, Nabiha Aimi berama rakan strategik dan penaja konsert.

Menurut Zizan lagi, pihaknya juga akan mengadakan siri jelajah di beberapa daerah sekitar Sabah sebagai rangka mempromosikan konsert berkenaan.

“Kita jangkakan siri jelajah itu sekitar September hingga awal Oktober tetapi pemilihan lokasi dan masa belum diputuskan.

“Pastikan semua peminat Nidji dan ST12 mengikuti perkembangan terkini konsert di laman sosial.

“Saya juga bakal terlibat dengan rangka promosi ini nanti. Peminat boleh membeli tiket secara fizikal dan bertemu saya secara dekat,” katanya.

Tiket menonton konsert Konsert ST12 dan Nidji Live in Sabah boleh dibeli secara dalam talian di www.ticket2u.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok