Siri wayang pacak MagiK sebelum gegar pawagam

SEBELUM rasmi memasuki pawagam tanah air menjelang 30 November nanti, filem MagiK terbitan 42nd Pictures Sdn. Bhd. diterajui pasangan suami isteri, Yasu dan Bea Tanaka kini menemui khalayak menerusi tayangan khas di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama sepanjang dua bulan mulai awal bulan ini.

Tujuan tayangan khas diadakan adalah untuk berkongsi filem dengan para penonton.

Yasu Tanaka selaku pengarah dan penulis skrip filem berkenaan, bersama isterinya, Bea Tanaka yang juga penerbit akan turun padang di semua lokasi.

Filem MagiK bergenre drama, keluarga dan fantasi adalah arahan Tanaka yang berasal dari Jepun.

Filem tersebut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Konsep tayangan, promosi

Mengulas konsep tayangan khas yang jarang sekali diadakan, Bea berkata, pihaknya mahu menampilkan kelainan untuk masyarakat luar bandar termasuk golongan bermasalah pendengaran untuk menonton filem.

Versi yang akan ditayangkan untuk tayangan khas ialah versi yang mempunyai ‘closed caption’ (kapsyen tertutup) yang memudahkan penonton komuniti mempunyai bermasalah pendengaran.

“Filem ini memaparkan kisah orang kampung di Kampung Kuantan, Kuala Selangor dan kami mahu mendekati golongan sasaran seperti masyarakat luar bandar menerusi konsep tayangan khas ini.

“Untuk tayangan-tayangan ini kami telah bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Perak untuk melibatkan komuniti pekak.

“Kami juga telah menjemput sekolah pendidikan khas sekitar Ipoh dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak,” kata Bae.

Bekas guru pendidikan khas

Selain bertindak sebagai penerbit, Bea sebenarnya bekas guru pendidikan khas untuk golongan bermasalah pendengaran selama 15 tahun dan masih akrab dengan golongan istimewa itu.

Yasu berkata, naskhah kedua arahannya selepas Nota tersebut berkenaan bukan sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip tetapi turut mengajak penonton menyelami keistimewaan golongan bermasalah pendengaran.

Yasu dan Bea sebelum berpeluang melihat konsep tayangan wayang pacak pada 2017, ketika Komuniti Filem Titiwangsa (Komfit) menjayakan tayangan filem Nota menyaksikan pengkritik filem terkenal, Hassan Abdul Muthalib sebagai moderator.

Wayang pacak

“Pengalaman itulah yang mendorong kami untuk merancang salah satu tayangan khas kali ini di Terengganu dengan konsep wayang pacak.

Kami amat teruja untuk berinteraksi secara langsung dengan para penonton yang akan hadir untuk tayangan-tayangan khas ini,” ujar Yasu.

Idea MagiK disatukan daripada hubungan Bea dengan komuniti pekak dan minatnya kepada alam semula jadi.

“Begitulah cara dua idea ini digunakan untuk mencipta cerita tentang seorang gadis pekak yang boleh berkomunikasi dengan kelip-kelip,” tambahnya.

Tayangan khas filem MagiK membabitkan tujuh lokasi terpilih di seluruh tanah air yang akan berlangsung antara September dan Oktober.

Kami berharap orang ramai tidak melepaskan peluang menonton tayangan khas filem MagiK yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga,” kata Bea.

Tayangan khas tersebut membabitkan lokasi di Warung Adri, Kuantan pada 16 September, disusuli Pantai Telaga Papan (23 September) dan Space08000, Sungai Petani (29 September).

Tayangan khas di Terengganu akan diadakan di tepi pantai dengan konsep wayang pacak.

Selain itu, lokasi tayangan khas di YMCA, Kuala Lumpur (1 Oktober); YMCA, Georgetown, Pulau Pinang (7 Oktober); PORT, Ipoh (14 dan 15 Oktober).

Tiga lokasi tayangan khas terbabit akan melibatkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran.

Tayangan khas MagiK di YMCA, adalah sebahagian daripada sambutan Hari Pekak Antarabangsa. Jadual tayangan khas akan berakhir di Embrace Hall, Johor Bahru pada 20 Oktober.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai tayangan khas filem MagiK boleh layari laman web www.42ndpictures.com.

MagiK mengisahkan Kit, gadis pekak berusia tujuh tahun yang tinggal di sebuah perkampungan terkenal dengan kelip-kelip.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok