‘Separuh nyawa saya pergi bersamanya’

BAGAI hilang separuh nyawa, begitulah perasaan suami kepada penyanyi dan pelakon veteran, Allahyarham Mek Habsah iaitu Rahamis Hamid, 72, berikutan pemergian isteri tercinta.

Rahamis ketika dihubungi HibGlam berkata, isterinya itu seorang seorang yang sangat tabah dalam menempuhi segala liku-liku kehidupan.

Bekas pesara polis itu turut memberitahu, selama 48 tahun hidup bersama, mereka saling melengkapi antara satu sama lain dan jarang bersengketa.

“Isteri saya suka memasak. Sepanjang 48 tahun hidup bersama, kami sentiasa berdua di mana-mana.

“Semestinya, saya sangat terkesan dengan pemergiannya. Rasa macam separuh nyawa saya pergi bila dia tiada.  Bayangkankan hampir 50 tahun hidup bersama, kini berada di sisi Yang Esa.

“Saya sebak memikirkan namun pada masa sama, lega segala kesengsaraannya di dunia sudah berakhir. Tidak lama lagi mungkin, masa saya pula menyusul,” katanya.

Jelas Rahamis lagi, ketika hayatnya masih ada Allahyarham Mek Habsah selalu mengingatkan dirinya agar jaga pemakanan dan makan ubat pada waktu ditetapkan doktor.

“Saya makan ubat sakit jantung. Saya ada masalah lemah jantung dan arwah selalu ingatkan sentiasa jaga makan dan makan ubat ikut masa.

“Dalam pada dirinya bergelut dengan masalah kesihatan, beliau tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kami,” kongsinya dalam sebak.

Mek Habsah atau nama sebenanya, Habshah Bakat, 67, menghembuskan nafas terakhir di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, pada pukul 2.45 pagi tadi akibat penyakit paru-paru kronik.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok