Semua rekaan, bapa Mondy terpedaya dengan muslihat – Caprice

PENYANYI rap, Caprice, 35, mendakwa bapa Mondy Tattoo sudah termakan cerita rekaan dibuat bekas artis Indonesia, Ustaz Derry mengenai pembohongan wanita bertatu itu sehingga lelaki terbabit berulang kali memohon maaf kepada pendakwah Ebit Lew.

Katanya, video kononnya komunikasi antara ustaz berkenaan dengan wanita tersebut sengaja dibangkitkan bagi mencetuskan rasa bersalah seorang bapa dengan sikap anak yang menipu demi mengejar wang.

“Bapa mana yang tidak terkejut apabila dapat tahu anaknya menipu demi mendapatkan wang,” katanya merujuk  permohonan maaf dibuat lelaki dipercayai bapa kepada pempengaruh media sosial tersebut dalam TikTok Ustaz Derry.

Menurut Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli, pihaknya tidak menonton siaran langsung berkenaan kerana telefon bimbit tidak boleh dibawa masuk ke bilik keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor.

“Apabila bapanya melihat perbualan itu, orang tua mana yang tidak menangis sedangkan bukti yang ditunjukkan adalah rekaan dan fitnah.

“Malam tadi saya maklumkan kepada Ustaz Derry yang saya sanggup beri 40 juta rupiah untuk dia buat video mendedahkan perbualan mereka termasuk mempamerkan nombor telefon kepada umum.

“Dia cuba buat apa yang diminta tapi nombor yang tertera berbeza dan telah memadamnya. Dia muat naik semula tapi nama pula lain dengan apa yang dikongsikan sebelum ini. Akhirnya semua bukti dipadam.

“Kenapa orang yang ada bukti sanggup padam semua itu. Kalau ada bukti kenapa nak sembunyikan, kecuali ada sebab iaitu mahu sorokkan kebenaran atau menganiaya mangsa,” katanya lagi.

TANGKAP layar siaran langsung Ustaz Derry bersama lelaki yang dipercayai bapa Mondy di aplikasi TikTok.

Mengulas dakwaan bapa Mondy pihak Caprice tidak meminta izin untuk membawa anaknya ke Malaysia, aktivis kemanusiaan itu menegaskan, wanita terbabit sudah dewasa dan berstatus isteri orang.

“Mondy tidak perlukan izin kerana telah cukup dewasa selain selama ini hidup sebagai budak jalanan, tak perlu minta izin ibu bapanya. Saya sudah minta izin suami Mondy mahu bawa dia datang ke sini,” katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang ustaz dari Indonesia yang dikenali Ustaz Derry mendakwa segala kenyataan Mondy dalam sebuah temuramah di ‘podcast’ adalah satu dusta.

Selain itu, seorang lelaki dipercayai bapa kepada Mondy tampil membuat permohonan maaf kepada Ebit Lew atas keterlanjuran anaknya itu.

“Saya mohon maaf atas tingkah laku tutur kata yang tidak sopan (Mondy). Tolong sampaikan kepada Ustaz Ebit yang telah membantu keluarga saya,” kata bapa Mondy.

Difahamkan perkara tersebut berlaku menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok yang turut disertai pendakwah dari Indonesia terbabit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok