Semoga bahagia, doa Sharnaaz buat Nabila

SEMPENA ulang tahun bekas isterinya, Noor Nabila, pelakon Sharnaaz Ahmad menuai pujian ramai apabila menitipkan doa agar kakak kepada selebriti, Neelofa itu sentiasa menjadi ibu terbaik buat anak mereka, Jebat Jayden.

Menerusi ucapan tersebut, Sharnaaz atau nama lengkapnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, turut berterima kasih kepada Nabila kerana sudah menjaga anak mereka dengan baik selama ini.

“Selamat Hari Lahir mommy (Nabila), terima kasih sebab jadi ibu yang terbaik untuk Jebat. Sentiasa beli permainan dan pergi bercuti di tempat yang seronok.

“Semoga Nabila sentiasa bahagia dan dimurahkan rezeki, Jebat sangat beruntung memiliki ibu yang sangat kelakar dan ‘annoying’ dalam masa sama,” katanya dalam hantaran Instagram hari ini.

Dalam perkongsian tersebut, dia turut memuat naik foto Nabila dan Jebat yang sedondon memakai baju berwarna hijau.

Selain itu, pelakon filem polis Evo 3 itu turut berharap anak lelakinya dapat menjaga dan menghargai mereka berdua sebagai ibu bapa sehingga ke akhir hayat.

“Semoga Jebat Jayden boleh jaga mummy sampai mummy dan baba tutup mata,” katanya lagi.

Lebih manis, Noor Nabila dilihat turut membalas ucapan hari jadi tersebut dan berterima kasih kepada Sharnaaz kerana sentiasa menghargai segala keringat yang dicurahkan sebagai seorang ibu.

“Amin, terima kasih awak. ‘Annoying’ itu bagus, penyedap rasa orang kata. Terima kasih untuk ucapan ini.

“Terima kasih kerana sentiasa menghargai saya,” balas Nabila.

Meninjau dalam ruangan komen, rata-rata netizen memuji hubungan baik Sharnaaz dan Nabila yang mengetepikan segala sengketa demi membesarkan anak.

“Kagumnya dengan kalian, walaupun sudah berpisah, tetap bersatu dan berbaik demi anak, Jebat sangat beruntung dapat ibu bapa macam Sharnaaz dan Nabila,” demikian komen seorang netizen.

Sharnaaz berkahwin dengan Nabila pada 31 Mac 2017, namun jodoh mereka tidak panjang apabila sah bercerai pada 9 Julai 2020 secara hakam di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok