Saya reda jika Allah tarik kelebihan suara – Siti Nurhaliza

“SAMPAI satu tahap saya dah reda jika Allah SWT nak ‘tarik’ sedikit bakat (suara) berikutan masalah peti suara berpanjangan.”

Demikian kata penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila memaklumkan berdepan dengan masalah peti suara semasa proses merakamkan album solonya yang ke-20 iaitu Sitism.

Ketika ditemui HibGlam, penyanyi berusia 44 tahun itu sedar berdepan masalah tekak apabila suaranya berubah menjadi serak dan kasar ketika menjalani proses rakaman album Sitism bermula pada Ramadan lalu dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.

“Memang lama sangat nak pulih (suara) sehingga saya mengalami masalah sewaktu merakamkan album. Sampai satu tahap, saya sudah reda jika Allah nak tarik sikit ‘kelebihan’ saya.

“Pada usia sekarang yang sudah menjangkau 40-an, suara saya nak kasar ke, serak ke, saya okey sahaja. Saya akan menyanyi ikut kemampuan dan sentiasa berfikiran positif,” ujarnya.

Gara-gara masalah peti suara yang dialami, Siti yang ditemui di majlis pelancaran album Sitism di The Face, Kuala Lumpur hari ini, mengakui terpaksa mengambil masa selama kira-kira tiga bulan bagi menyelesaikan proses rakaman lagu album terbaharunya itu.

Bahkan, ibu kepada dua cahaya mata itu juga sempat memohon doa di hadapan Kaabah sewaktu menunaikan umrah pada Ramadan lalu supaya diberikan kesembuhan segera.

“Sebagai penyanyi, suara adalah ‘aset’ kita. Risau juga sebab banyak komitmen kerja termasuk kak Rozie (pengurusnya). Saya pun sudah berjumpa pakar dan doktor berkali-kali.

“Sehinggakan saya ambil kesempatan berdoa di hadapan Kaabah ketika menunaikan umrah pada Ramadan lalu supaya diberikan kesembuhan segera. Nak sihat sepenuhnya memang ambil masa yang lama juga.

“Alhamdulillah keadaan saya kini beransur pulih dan saya bersyukur. Namun saya kena sentiasa beringat supaya menjaga kesihatan,” ujarnya.

Pada masa sama, Siti berkata dia enggan ambil pusing dengan kata-kata netizen apabila ada yang membandingkan suaranya sudah tidak sama seperti dahulu.

Kata pelantun lagu Percayalah itu, dia sentiasa positif dan bersyukur dengan apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

“Memang ada peminat bercakap tentang perubahan suara saya. Tapi saya sentiasa positif. Apa yang Allah nak beri, dia akan beri. Kalau Allah nak tarik (nikmat), dia akan tarik.

“Apa-apa pun, saya sentiasa bersyukur dan positif sahaja dengan kemampuan diri. Album ini (Sitism) pun saya hasilkan dengan semampunya,” ujar Siti.

Album Sitism yang dilancarkan kali pertama secara digital pada 30 Jun lalu mengandungi lapan lagu manakala tambahan empat lagi lagu (album penuh) pada 8 September.

“Alhamdulillah sehingga kini, Sitism telah mendapat 1.6 juta penstriman sejak dilancarkan. Terdapat 12 buah lagu baharu hasil komposer dari dalam dan luar negara (Indonesia).

“Kesemuanya lagu kegemaran saya,” ujarnya.

Antara lagu yang terkandung dalam Sitism ialah Menyapa Dunia, Tanpa diri-mu, Sehebat Matahari, Ganti, Romansa Kita, Teratas dan Magis. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok