Saya dewasa terlalu awal – Janna Nick

SELEPAS cemerlang memahat nama sebagai pelakon dan kemudian mengembangkan sayap seni dalam arena seni suara dengan menzahirkan beberapa lagu hit, si cantik Janna Nick kini kian selesa menceburi dunia pengarahan dan penerbitan.

Versatiliti dan tekad anak jati Kedah itu dalam mewarnai industri hiburan tanah air dengan pelbagai usaha dan pertaruhan karya selayaknya diteladani.

Berusaha keras mencuba segenap cabang seni, Janna menerbitkan pula pementasan teater muzikal kanak-kanak berjudul Pak Pandir dan Labu Ajaib yang bakal dipentaskan pertengahan Oktober nanti.

Selain ingin berkarya, ada alasan kukuh yang menjentik hati pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu untuk mementaskan teater tersebut meskipun menyedari menjayakan pementasan berskala besar bukan perkara mudah.

Akui wanita berusia 28 tahun itu, dia nekad untuk mementaskan teater tersebut sebagai cara menebus semula zaman kanak-kanaknya yang sarat episod duka dan kenangan hitam yang masih berbekas dalam kotak memori.

“Saya dewasa terlalu awal, jujurnya saya tidak sempat untuk menikmati kenangan zaman kanak-kanak seperti orang lain.

“Jadi, apabila saya terlibat dalam pementasan teater bergenre komedi dan muzikal seperti ini, baru saya dapat rasakan mood menjadi kanak-kanak.

“Cerita kanak-kanak seperti Pak Pandir sangat lucu dan kena dengan jiwa saya yang penuh emosi sekali gus mendorong saya merealisasikan teater ini untuk menggembirakan hati saya serta kanak-kanak lain,” jelasnya.

Paling utama kata Janna, dia berharap garapan naskhah Pak Pandir dan Labu Ajaib mampu mencetuskan gelak tawa  khalayak yang barangkali pernah mengharungi pengalaman sama seterusnya melupakan ‘luka’ lama.

“Selain menyelitkan banyak elemen jenaka, teater tersebut bawa mesej yang sangat penting, namun ringan dan mudah untuk difahami.

“Saya yakin ada kanak-kanak lain yang melalui fasa seperti saya. Moga naskhah ini sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman pada wajah mereka dan mencipta kenangan indah,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan pelakon Dini Schatzmann pada 10 Jun lalu.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok