Saya, Daiyan Trisha tidak pernah ada hubungan romantik – Aedy Ashraf 

“Spekulasi tentang seorang rakan dalam bukunya yang didakwa melibatkan saya, itu tidak benar.”

Demikian reaksi aktor Aedy Ashraf apabila namanya dikaitkan dengan puisi patah hati yang dikongsi pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha baru-baru ini.

Bahkan Aedy atau nama asalnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi tampil membersihkan namanya dengan menafikan pernah mempunyai hubungan istimewa dengan pelantun lagu Penat itu.

“Banyak spekulasi mengenai saya kebelakangan ini dan sekarang saya di sini ingin menjelaskan perkara sebenar.

“Spekulasi tentang seorang rakan dalam bukunya yang didakwa melibatkan saya, itu tidak benar.

“Kami tidak pernah mempunyai hubungan secara romantik dan tidak lebih daripada kawan,” kongsi aktor berusia 29 tahun itu di Instagram.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by aedy ashraf (@aedyxashraf)

Pada masa sama, bintang yang popular menerusi filem Tentang Bulan itu turut menyentuh isu foto mesra bersama pelakon gandingannya, Ahirine Ahirudin.

Menurut aktor sensasi terbabit, gambar tersebut tidak mendapat persetujuan pihaknya untuk disiarkan dalam mana-mana platform termasuk bagi tujuan promosi filem.

“Sekeping foto kontroversi daripada adegan filem yang saya buat. Saya tidak pernah mengizinkan foto tersebut dimuat naik dalam mana-mana platform media sosial.

“Saya juga tidak pernah bersetuju bahan seperti ini disiarkan untuk mempromosikan filem,” tambahnya.

Aedy juga tidak menafikan kehebatan filem arahan Jason Chong yang dijayakan dengan sepenuh hati, namun tidak selesa apabila promosi lebih menjurus kepada bahan sensasi.

“Tidak dinafikan, filem tersebut sangat bagus. Saya letakkan sepenuh tenaga, masa dan usaha untuk memastikan nashkah berkenaan memberi impak buat peminat.

“Saya enggan membiarkan semuanya mati sia-sia untuk aksi publisiti.

“Apa yang dilakukan untuk keluarga dan peminat yang sememangnya datang daripada hati,” tuturnya.

Terdahulu, puisi tentang kekecewaan dan kecurangan yang dimuat naik Daiyan baru-baru ini mencetuskan teka-teki mengenai siapa jejaka yang pernah membuatkan aktres tersebut patah hati.

Karya berkenaan ditulis Daisya berdasarkan apa yang pernah dilaluinya dan dimuatkan dalam buku puisi berjudul Tulisan by Daiyan. 

Disebabkan pernah digosipkan bercinta dengan Aedy, maka nama aktor itu turut dipetik oleh netizen dalam ruangan komen perkongsian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok