PENGACARA pentas akhir pertandingan Bintang Kecil 2023, Sweet Qismina memohon maaf di atas kesilapannya mengumumkan pemenang Anugerah Persembahan Terbaik ketika siaran langsung acara itu di TV2, malam tadi.
Menurut Sweet, perkara itu berlaku buat pertama kalinya dan selaku pengacara masih banyak yang perlu dipejari serta diperbaikinya.
“Maaf sangat atas kesilapan besar pihak kami.”
“Saya sangat memerlukan teguran untuk memperbaiki kekurangan dan saya serius mahu belajar jadi pengacara,” tulisnya dalam Facebook.
Pelakon terbabit menjawab teguran seorang penyampai berita dan pengacara senior berhubung kesilapannya yang tular di media sosial sejak malam tadi.
Heroin drama Bidadari Salju itu mengakui kesilapan, selain menyatakan sudah melakukan persediaan awal sebelum malam kemuncak yang disiarkan di TV2 itu.
“‘Homework’ dah dibuat, mungkin tidak cukup. Kalau diberi peluang lagi, saya akan lebih banyak belajar. Maaf sekali lagi,” tambahnya.
Sweet, 25, mengendalikan program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diadakan di Arena Gemilang, DeTAR Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan, Sarawak itu bersama aktor Azam Pitt.
Pada masa sama, orang ramai kecewa dengan kesilapan teknikal yang dilakukan kru produksi yang bertindak menghalakan lampu sorot kepada seorang peserta ketika keputusan pemenang diumumkan sehingga menimbulkan salah faham.
Farha atau Nurfarina Farha Abdul Zahir menyangka dirinya dipilih sebagai juara apabila Sweet menyebut namanya sehingga terduduk kegirangan.
Menyedari berlaku kesilapan teknikal, aktes terbabit menutup khilaf kru dengan menyatakan itu hanya gimik yang normal, sekali gus menambahkan lagi rasa tidak puas khalayak.
Bukan hanya penonton, pelayar yang mengikuti program pertandingan nyanyian membabitkan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun itu di saluran penstriman turut memberikan pelbagai reaksi di laman sosial.
Rata-rata menganggap kesilapan stesen televisyen yang sudah lama bertapak itu tidak seharusnya berlaku, apatah lagi disiarkan secara langsung.
“Kasihan, sepatutnya tidak boleh berlaku perkara ini. Bintang Kecil RTM bukan benda baharu. Berkenaan pengacara, sila ambil pengacara yang profesional dan berpengalaman.
“Peringkat akhir pula dan siaran secara langsung. Memalukan,” kata seorang netizen.
“Gimik? Ini bukan masanya untuk buat gimik ye RTM. Kesian budak dah suka dia juara, sekali (rupa-rupanya) gimik. Kata maaf pun tiada. Sampah,” komen penonton lain.
Menerusi keputusan malam tadi, Farha membawa pulang RM15,000 sebagai naib juara apabila kemenangan berpihak kepada wakil Sabah, Kiki atau nama sebenarnya Fateeha Nasleen Suhailin yang mengungguli gelaran juara sekali gus layak menerima RM20,000.
Pemenang berusia 12 tahun yang berasal dari Keningau itu turut diumumkan sebagai penerima trofi Persembahan Terbaik. – HIBGLAM