Salah atau tidak, siapa kita untuk hakimi? – Che Ta

Pelakon Rozita Che Wan menegaskan ada perkara yang tidak perlu dijelaskan kepada umum apabila membabitkan hal keluarga.

Katanya, perkara yang dimaksudkan mungkin hanya difahami individu bergelar ibu atau bapa terutama ketika anak diduga ujian atas kekhilafan diri atau orang lain.

Dalam hidup ini ada benda yang tidak perlukan justifikasi sesiapa mahu pun yang bergelar netizen.

“Sebagai ibu tentunya saya tercuit, terpanggil apabila kisah sensasi diperkatakan, kita tak pernah tahu apa yang orang rasa,” katanya menerusi perkongsian dalam Instagram Story.

Biarpun tidak menyebutkan hantaran tersebut merujuk kepada mana-mana isu, dipercayai kenyataan ditujukan buat selebriti Norman Hakim dan Abby Abadi yang diuji dengan isu anak perempuan dilabel sebagai penyondol pada usia yang amat muda iaitu 18 tahun.

Sehubungan itu, Rozita yang mesra dipanggil Che Ta berharap masyarakat punya sifat simpati.

Malah ibu kepada tiga cahaya mata itu juga meluahkan harapan supaya netizen tidak cepat jatuh hukum terhadap sesuatu isu tanpa memikirkan perasaan orang lain.

Cubalah semat rasa empati dan simpati. Mungkin hari ini hari mereka. Hari kita tak sesiapa tahu. Salah atau tak, siapa kita yang nak menghakimi. Wallahualam.

“Moga kita dijauhi dan terus dilindungi. Salah tetap salah, kerana tiada istilah menegakkan benang yang basah.

“Cuma jangan pantas mengadili dan meletakkan kesalahan mandatori,” tulisnya lagi.

Menerusi perkahwinannya dengan pelakon, Zain Saidin, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 9 tahun.

Daripada perkahwinan terdahulu pula Che Ta dianugerahkan dua putera yang sudah dewasa, Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.

Sebelum ini, ketiga-tiga permata hati aktres dan usahawan sensasi itu turut meraih perhatian serta menjadi bahan berita berikutan tempias populariti ibu mereka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok