Rowoon bukan lagi ahli SF9

KUMPULAN SF9 sedia kembali beraksi dengan lapan anggota setelah Rowoon mengambil keputusan membawa haluan sendiri.

Keputusan Rowoon keluar daripada kumpulan diumumkan pihak agensi pengurusan SF9 iaitu FNC Entertainment.

“Kontrak SF9 bersama kami telah tamat pada 18 September lalu. Kesemua ahli memperbaharui kontrak kecuali Rowoon.

“Rowoon mahu memberikan tumpuan kepada projek individu termasuk dalam bidang lakonan,” kata wakil agensi dalam satu kenyataan.

FNC Entertainment turut meminta peminat kumpulan itu untuk terus memberikan sokongan terhadap Rowoon dan SF9 seraya meyakinkan setiap ahli kumpulan itu juga akan berbuat demikian walaupun aktor terbabit tidak lagi bersama mereka.

Sementara itu, Rowoon juga telah menulis surat tulisan tangan yang ditujukan kepada peminat selepas pengumuman itu untuk menzahirkan terima kasih kerana setia bersamanya sejak tujuh tahun lalu.

SF9 yang terkenal dengan lagu O Sole Mio, Now or Never dan Tear Drop merupakan kumpulan lelaki pertama bernaung di bawah FNC Entertainment serta mula dikenali menerusi album pertama mereka berjudul Feeling Sensation pada 2016.

Pada 2017, Rowoon atau nama sebenarnya Kim Seok-woo membuat penampilan sulungnya dalam bidang lakonan. Antara drama lakonannya adalah Extraordinary You pada 2019 dan The King’s Affection (2021), She Would Never Know (2021) dan Tomorrow (2022).

Jejaka berusia 27 itu kini hangat dengan drama fantasi romantik, Destined With You, bergandingan dengan aktres popular Jo Bo-ah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok