Rosyam Nor label wanita berduit berlagak

“APABILA bekerjaya dan banyak duit, perempuan akan berlagak walaupun berstatus isteri orang.”

Itu kritikan pelakon terkenal, Rosyam Nor terhadap segelintir wanita yang disifatkan angkuh apabila mempunyai kerjaya dan kewangan yang kukuh.

Menurut Rosyam, dia terpanggil menyuarakan perkara ini selepas melihat kaum hawa semakin berani melawan suami.

“Bukan semua tetapi kebanyakan yang bersikap sedemikian suka meninggi diri. Bila ada duit terus ego.

“Dengan suami pula cakap penat bekerja dan minta suami tolong laksanakan tugas di rumah,” katanya dalam sebuah sesi podcast.

Pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin, 56, juga beranggapan keretakan rumah tangga kebanyakannya tercetus  apabila isteri mula bergaya dan tertarik kepada lelaki lain.

“Ada juga perempuan yang berduit pakai cantik-cantik tetapi persoalkan kenapa berkahwin dengan lelaki sebegini (tidak kemas).

“Dalam masa sama, tengok lelaki lain lebih menarik, kononnya lebih menghargai dirinya.

“Daripada situ berlaku pergolakan rumah tangga sebab isteri ada duit sendiri,” ujarnya lagi.

Baru-baru ini, klip video Rosyam menasihati wanita dengan mengatakan lebih baik duduk di rumah kembali tular sehingga menjadi perhatian netizen. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok