Rossa lunaskan impian beraksi di sabah 8 Disember

SUSULAN kejayaan mementaskan konsert Another Journey: The Beginning di Zepp Kuala Lumpur dan The Star Theatre Singapura, penghibur terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa bakal menerbangkan siri konsert jelajah berkenaan ke Sabah khusus buat peminat di Boneo.

Dipentaskan pada 8 Disember depan, konsert terbabit akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Lebih dua dekad mencanai bakat di persada muzik nusantara, pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani itu berkata, beliau bakal menyanyikan kira-kira 25 lagu popularnya termasuklah Ayat-Ayat Cinta, Pudar, Hati Yang Kau Sakiti, Malam Pertama, Terlalu Cinta dan Hey Ladies.

SELAIN mahu bertemu peminat setianya di Sabah, Rossa juga tidak sabar mahu menikmati keenakan makanan laut segar di negeri itu.

Penyanyi wanita papan Indonesia itu mengakui teruja melunaskan impian mengadakan konsert solo sulung di Sabah yang belum terlaksana sepanjang melebarkan sayap seni di Malaysia.

“Saya sudah cukup lama menyanyi di Malaysia malahan sering berulang-alik ke Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain di sekitarnya.

“Bagaimanapun, saya belum pernah menjayakan konsert besar di Sabah dan akhirnya impian itu bakal jadi kenyataan pada penghujung tahun ini.

“Keterujaan itu bukan cuma untuk konsert tetapi saya mahu mencuba makanan laut yang dikatakan cukup segar di sana.

“Saya yakin akan seronok apabila berada di Sabah nanti dan semoga saya serta teman-teman band dari Jakarta mampu memberikan sebuah konsert yang akan meninggalkan momen indah buat pencinta Rossa sekitar Borneo,” katanya pada sidang media Konsert Another Journey: The Beginning Sabah baru-baru ini.

Rossa berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media secara dalam talian melalui aplikasi Zoom yang turut disertai penyanyi terkenal Cakra Khan yang diundang sebagai artis jemputan pada konsert itu.

Turut hadir Pengarah Acara Fazzbuzz Events & Media, Fazura Azima Ag Sha.

ROSSA di sidang media konsert Another Journey: The Beginning yang berlangsung menerusi aplikasi Zoom baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fazura Azima menyatakan sambutan ke atas pembelian tiket konsert Another Journey: The Beginning di Sabah sangat luar biasa apabila sudah terjual lebih 50 peratus sebelum berlangsungnya sidang media konsert itu.

Menurut Fazura, itu petanda baik dan berharap semua tiket akan habis dijual dalam masa terdekat.

Sementara itu, Cakra yang terkenal dengan himpunan lagu berentak balada dan pop menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rossa kerana memilihnya untuk menjayakan konsert penyanyi itu di Sabah.

Menurut penghibur yang memiliki suara serak basah itu, peluang diberikan Rossa bukan sahaja boleh mendekatkan dirinya dengan peminat tetapi dilihat sebagai suatu apresiasi daripada pelantun lagu Ayat-Ayat Cinta berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok