Rezeki Ani Maiyuni, Dasar Buaya Cinta kembali tular

PENYANYI dangdut, Ani Maiyuni terharu apabila lagunya, Dasar Buaya Cinta kembali popular dalam laman sosial TikTok sehingga tular ke Indonesia.

Ani Maiyuni atau nama lengkapnya Aishah An-Nur Osman, 44, ketika ditemui HibGlam berkata, dia tidak menyangka lagu yang dirakam pada 1998 itu, kembali popular dalam TikTok sehingga mendapat sambutan hangat peminat dari Indonesia.

“Lagu Dasar Buaya Cinta saya rakamkan pada 1998. Lagu itu kemudiannya popular di Indonesia pada 2000.

“Sehinggakan suatu ketika dahulu, ada sebuah pertandingan tiru gaya Ani Maiyuni diadakan di sana (Indonesia) yang ditaja satu jenama rokok tempatan.

“Selepas lebih 20 tahun, tiba-tiba lagu ini kembali tular. Saya bersyukur dan tidak sangka,” ujarya.

Menganggap perkara tersebut sebagai rezeki, Ani Maiyuni berkata kuasa media sosial hari ini sangat penting bagi anak seni untuk mempromosikan produk (lagu) mereka.

“Bagi saya, ini rezeki. Dahulu kami para artis kalau nak buat promosi kena jelajah satu Malaysia.

“Sekarang tidak perlu lagi. Dengan adanya media sosial seperti TikTok dan Instagram, pendengar muda pun boleh tahu asal-usul sesebuah lagu,” katanya.

Pada masa sama, Ani Maiyuni yang turut popular menerusi lagu Sedap merancang untuk merakam semula lagu Dasar Buaya Cinta namun masih mencari individu yang berani menyahut cabarannya.

“Memang ada perancangan untuk rakam semula lagu Dasar Buaya Cinta dalam versi baharu tetapi belum jumpa komposer muda yang berani sahut cabaran ini,” katanya.

Cinta Dasar Buaya yang dimuatkan dalam album keduanya, Dangdut Goyang Malindo merupakan ciptaan komposer dan penyanyi, Iwan Syahman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok