Populariti bukan keutamaan Dewi Liana Seriestha

BANYAK pencapaian diraih penyanyi cantik, Dewi Liana Seriestha sejak  menceburi dunia seni lebih 20 tahun lalu.

Selain menjadi juara Bintang Kecil RTM 2000, anak kelahiran Kuching, Sarawak  itu mewakili Malaysia ke pertandingan ratu cantik dunia 2014 sekali gus dipilih sebagai Miss World Talent.

Pencapaian Dewi yang berusia 34 tahun tidak ternoktah di situ apabila dia sekali lagi mengharumkan nama negara menerusi kemenangan pingat emas dan tiga pingat perak di World Championship of Performing Arts.

Satu per satu kemenangan diraih, namun nama penyanyi itu masih ‘samar-samar’ dalam dunia hiburan tanah air.

Dewi, ketika ditanya tentang perkara itu memaklumkan tidak kecewa andai kata dia masih belum meniti tangga populariti teratas.

Katanya, dia tetap bersyukur kerana rezekinya dalam bidang nyanyian tidak pernah putus.

“Populariti bukan perkara yang saya kejar. Saya gembira kerana masih ada yang kenal dan sudi tawarkan persembahan.
“Rezeki saya pula tak pernah putus, selalu juga dipanggil menjayakan persembahan acara korporat.

“Walaupun jarang muncul di televisyen, saya tetap gembira. Tak mengapalah kalau nama saya tak popular, asalkan saya masih berpeluang menyanyi,” katanya ketika ditemui di konsert Ini Baru Bintang di Auditorium Perdana Angkasapuri, baru-baru ini.

Ujar Dewi, perjalanan selama 23 tahun dalam bidang seni bukan perkara yang mudah. Malah, dia tidak bergantung kepada kerja nyanyian semata-mata, sebaliknya bekerja keras menggunakan kemahiran lain untuk kekal relevan.

“Punca pendapatan saya bukan setakat bidang nyanyian sahaja, tetapi juga menerusi bidang lain.

“Saya gunakan kemahiran-kemahiran lain, termasuk mengacara dan jadi model serta tenaga pengajar,” jelasnya. – SUMBER UTUSAN MALAYSIA

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok