PMX terima kunjungan Rajinikanth

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hati menerima kunjungan bintang tersohor India, Rajinikanth di pejabatnya, di Putrajaya, semalam.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam akaun X miliknya, Anwar dilihat berjabat tangan dan berbual-bual ketika menyantuni pelakon filem Tamil berusia 72 tahun itu.

“Hari ini (semalam) saya menerima kunjungan bintang filem India, Rajinikanth, iaitu satu nama yang tidak asing lagi di pentas dunia seni asia dan antarabangsa,” ujarnya.

Dalam hantaran itu juga, Anwar turut menghargai penghormatan yang diberikan aktor itu terhadap perjuangannya khususnya isu kesengsaan dan penderitaan rakyat.

DALAM pertemuan semalam, Rajinikanth menyatakan hasrat untuk memasukkan perjuangan Perdana Menteri dalam filem lakonannya.

Malah, Anwar turut memberitahu antara perkara yang dibincangkan bersama Rajinikanth adalah berkaitan kemasyarakatan dan perjuangannya yang akan dimasukkan ke dalam karya lakonan aktor itu nanti.

“Saya hargai penghormatan yang diberikan beliau terhadap perjuangan saya, khasnya isu kesengsaraan dan penderitaan rakyat.

“Antara yang dibincangkan secara santai pastinya berkaitan elemen kemasyarakatan yang saya perjuangkan untuk dimasukkan ke dalam filem-filemnya nanti.

“Dititipkan doa agar Rajinikanth terus cemerlang dalam dunia perfileman,” ujarnya.

Rajinikanth yang digelar ‘The Boss’ oleh peminatnya telah berkecimpung dalam industri hiburan India Selatan selama 50 tahun dengan membintangi lebih 150 filem.

Pada 2016, pelakon itu berkunjung ke Malaysia buat pertama kali bagi menjalani penggambaran filem Kabali yang turut menampilkan beberapa pelakon tempatan antaranya Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim dan Zack Taipan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok