Pernah hilang, RJ Helmy disangka sakit mental, kaki dadah

PENYANYI rap, Rapper Jambang atau RJ yang pernah menghilangkan diri sekitar 2017 mendedahan pernah dilemparkan tuduhan ada masalah mental dan terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Kata pemilik nama sebenar Mohd Helmy Hamdan itu, peristiwa putus cinta selain hilang tempat mengadu
selepas bapanya berhijrah ke negeri lain mencetuskan tekanan sehingga suka menyendiri dan bertindak memadam akaun laman sosial.

“Tempoh empat tahun hilang sebenarnya adalah fasa saya mengutip serpihan semangat selepas diuji dengan kisah perhubungan tidak kesampaian.

“Mungkin orang nampak perkara ini biasa, tetapi barangkali disebabkan saya melalui pengalaman cinta pertama pada usia lewat, disakiti insan yang kita sayang sepenuh hati rupa-rupanya mencetuskan impak teruk terhadap emosi.

“Kami berkawan setahun, namun saya bagai tersalah isyarat kerana dia cuma menganggap saya kawan. Semua kesedihan itu saya tanggung sendirian,” katanya ketika ditemui HibGlam di lokasi penggambaran drama Bukan Cinta Sempurna, baru-baru ini.

Menurut anak tunggal yang telah kematian ibu itu, dia menyedari ramai rakan terdekat tertanya-tanya keadaan dirinya sepanjang tempoh menyepi itu.

“Agak lama juga saya ‘down’. Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya buat ‘live’ dalam sebuah aplikasi bagi menjana pendapatan.

“Daripada situ dapatlah menampung kehidupan. Namun, situasi sukar sebenarnya berlaku selepas PKP apabila duit yang ada tidak mencukupi sehingga saya terpaksa buat kerja-kerja penghantaran.

“Ramai masih kenal dan tanya kenapa saya tidak menyanyi lagi. Waktu itu memang ada keinginan untuk kembali aktif sampailah pihak Global Station panggil saya bintangi drama terbitan mereka,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai drama bersiri 50 episod yang diadaptasi dari luar negara itu, RJ yang kini mahu dikenali sebagai RJ Helmy mengakui peluang keemasan membawakan watak Abu tidak wajar dilepaskan.

“Sebenarnya selain Bukan Cinta Sempurna saya telah beberapa kali muncul dalam drama terbitan Global Station ini yang terkenal dengan naskhah luar biasa.

“Tentu sahaja ini pengalaman istimewa apabila dapat bekerja dengan ramai pelakon hebat termasuk Ayda Jebat, Fadlan Hazim, Neera Azizi, Shah Iskandar dan Amar Baharin,” katanya.

Penyanyi yang pernah menggantikan Malique pada Anugerah Juara Lagu ke-27 membawa lagu Teman Pengganti bersama Black itu turut berkongsi sudah sedia untuk beraksi di pentas persembahan.

“Alhamdulillah kehidupan saya kembali tersusun cantik dan stabil selain memiliki semula kereta.

“Allah sudah atur semuanya dengan baik. Ujian ini mematangkan saya,” kongsi bekas pegawai perhubungan awam (PR) berusia 40 tahun itu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok