Pernah dicabul, Serene Claire kesal didiskriminasi

PELAKON, Serene Claire kesal apabila pengakuannya dicabul seorang YouTuber dipandang sebelah mata segelintir pihak.

Dia sama sekali tidak menyangka pendedahan kejadian menakutkan di sebuah kelab itu mengundang kecaman sehingga ada yang mendakwa dirinya sengaja mencari perhatian.

“Saya terkejut dalam zaman moden ini wanita masih didiskriminasi dan ditindas sedangkan saya bersuara untuk mempertahankan hak sebagai mangsa.

“Ada pihak menuduh saya sengaja memuat naik hantaran insiden itu kerana inginkan perhatian. Pelik dalam hal sebegini wanita sahaja yang sering dipersalahkan kononnya kami mengundang kerana berpakaian seksi.

“Ketika itu saya buntu dan jujur saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tujuan saya mendedahkan perkara itu adalah sebagai peringatan kepada wanita lain agar lebih berhati-hati bahkan dalam hantaran itu saya tidak sebut pun nama sesiapa,” kata pemenang tempat kedua Miss Universe 2020 itu.

Selepas insiden berkenaan, aktres itu mengalami trauma yang teruk bahkan pernah hilang tawaran kerja.

“Saya akui trauma sehingga terpaksa menyepi selama beberapa bulan. Media mencari saya tetapi saya pilih untuk berdiam diri kerana bimbang pelaku menyerang saya dan keluarga.

“Dalam masa sama, ada produk batalkan kerjasama kami kerana bimbang akan memberikan implikasi negatif terhadap jenama mereka. Kata mereka saya ada reputasi yang buruk,” katanya lagi.

Namun, pelakon drama Gadis Muzikal itu bersyukur apabila sebuah agensi berminat membantunya dalam mempertahankan hak seorang wanita yang berdepan serangan seksual.

“Selepas kejadian tersebut, saya mencari pertubuhan wanita untuk bekerjasama dengan mereka bagi memperjuangkan hak wanita.

“Saya memang berminat untuk berkerjasama dengan mana-mana badan yang memperjuangkan hak asasi wanita supaya lebih ramai mangsa berani tampil ke depan,” ujar anak jati Johor Bahru itu.

Beralih perihal kerjaya, Serene teruja berkongsi pengalamannya menjayakan drama Gadis Muzikal yang mengangkat kisah perjuangan lima wanita memburu impian bergelar penyanyi terkenal.

Memegang watak Lulu, Serene mengakui terharu dapat berguru dengan pelakon terkenal, Fauziah Ahmad Daud malah rakan artis lain juga banyak membantunya sepanjang penggambaran.

“Mereka ikhlas dan baik hati membantu sehingga saya tidak rasa kekok berada di set penggambaran. Awalnya saya kurang yakin keran tidak berapa fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Menerusi drama ini, Ogy (Fauziah) turut terlibat sebagai pelakon. Dia tidak kedekut ilmu dan melayan saya dengan baik. Banyak yang saya belajar daripadanya,” kata Serene.

Gadis Muzikal ditayangkan di slot Lestary, TV3 setiap Khamis hingga Sabtu jam 9 malam dan boleh strim secara eksklusif di www.tonton.com.my. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok