Peminat fanatik zaman sekarang bodoh, biadab – Zainal Abidin

PENYANYI Datuk Zainal Abidin menyelar sikap segelintir peminat fanatik selebriti tanah air yang disifatkan sebagai biadab terutama ketika menulis sebarang komen dalam media sosial.

Zainal atau nama penuhnya Zainal Abidin Mohamed, 64, berkata, setiap komen harus ditulis dengan cara berhemah dan bukannya menghentam individu lain secara kurang ajar.

“Biadab! Mereka selalunya muat naik dulu kemudian baru hendak berfikir. Cubalah fikir dahulu, baru kongsi.

“Kalau mereka nasihat dan tegur baik-baik, saya akan terima tetapi saya pula dihentam sehingga dipanggil sebagai orang tua nak m*mp*s dan kubur sudah panggil.

“Janganlah guna bahasa kasar sebegitu. Daripada saya nak dengar nasihat, terus berubah jadi benci,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media konsert Zainal Abidin Tiba Masa. 

Pelantun lagu Hijau itu turut menasihat golongan peminat yang taksub dengan artis kesayangan mereka agar menjaga adab dalam menulis setiap komen dan tidak menggores hati mana-mana pihak.

“Kita orang Melayu, beragama Islam yang ada adab, akhlak dan adat.

“Meskipun orang itu berstatus ustaz sekalipun, kalau tiada adab yang baik, saya tetap tak dapat terima nasihatnya.

“Saya okey kalau nak kutuk mengenai pemakaian rantai tetapi orang tahu ke saya bertaubat setiap malam?” ujarnya.

Sebelum ini, Zainal menerima kecaman hebat apabila dia menegur mengenai fesyen seorang penyanyi wanita popular yang disifatkan sebagai keterlaluan.

Perkara itu seterusnya membuatkan peminat fanatik penyanyi tersebut menyerangnya dalam media sosial sehingga melemparkan komen biadab.

Konsert Zainal Abidin Tiba Masa bakal diadakan di Istana Budaya pada 30 September depan bagi meraikan 30 tahun penglibatannya sebagai anak seni.

Selain konsert, Zainal hari ini turut melancarkan single terbaharunya, Tiba Masa hasil ciptaan Michael Verapan manakala liriknya oleh Mukhlis Nor. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok