Pekin terima petua pelik dapatkan anak

PELAKON, Pekin Ibrahim mendedahkan pernah menerima pelbagai tip pelik daripada orang sekeliling sepanjang tempoh empat tahun sebelum dikurniakan zuriat.

Menurut Pekin atau nama penuhnya, Mohd Iznan Ibrahim, 41, ada antara petua itu kedengaran aneh terutama daripada orang tua.

“Macam-macam tip saya dapat contohnya ketika bersama (melakukan hubungan intim), perlu buka tingkap sikit dan menghadap kiblat. Pernah dengar tak?

“Memang ada petua begitu saya dapat daripada orang tua. Saya buat, kiranya macam ikhtiar juga tetapi akhirnya jumpa Ustaz Din di Melaka, Allah makbulkan doa dan selepas itu kami dapat anak,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media filem Gemencheh Boys di sini semalam.

Dalam masa sama, dia turut menasihati pasangan yang belum dikurniakan zuriat agar tidak sesekali berputus asa atau  berasa tertekan.

Selain itu, dia berpendapat pasangan suami isteri perlu memainkan peranan bagi membantu mengurangkan tekanan yang dilalui sepanjang tempoh usaha mendapatkan anak.

“Ini nasihat dan apa yang saya belajar, jangan beri terlampau banyak tekanan kepada diri sendiri dan pasangan.

“Selepas empat tahun baru dapat anak, jika lihat orang lain, 10 tahun, berbelas tahun pun masih belum ada rezeki untuk memiliki zuriat. Jadi mengapa perlu putus asa?

“Orang perempuan kalau masih belum ada anak memang tertekan, orang lelaki boleh santai lagi. kasihan kaum isteri dan suami juga perlu faham perasaan mereka,” ujarnya.

Dia juga mengakui tekanan selalunya dirasai apabila orang sekeliling bertanya dan ketika melihat pasangan lain sudah dikurniakan cahaya mata.

Kongsinya, pelbagai usaha dilakukannya dengan isteri termasuk cara moden dan tradisional sebelum ini.

“Memang tertekan, orang tanya, kawan-kawan pula datang rumah bawa anak. Mona pula suka budak, ditambah pula umur saya makin meningkat.

“Mona otak dia moden manakala saya agak tradisional, orang suruh jumpa ustaz atau pawang, saya pergi. Mona tak percaya semua itu, dia lebih kepada cara moden tetapi itu semua ikhtiar dan tawakal.

“Alhamdulillah, kami akhirnya dapat anak secara semulajadi tanpa perlu melakukan rawatan In vitro fertilisation (IVF),” ujarnya.

Untuk rekod, Pekin mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Mona Allen pada 7 Disember 2018.

Lama menanti, pasangan tersebut akhirnya dikurniakan anak lelaki, Petra Pekin pada 31 Ogos tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok