Padam gambar Instagram, Yonnyboii minta ruang bertenang

TINDAKAN penyanyi rap Yonnyboii memadam semua foto dalam akaun Instagram miliknya mengundang tanda tanya peminat.

Pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 25, itu hanya meninggalkan sorotan serta bahan reels dalam laman sosial yang diikuti 179,000 pengikut.

Sehubungan itu, timbul pelbagai spekulasi mengenai status rumah tangganya dengan Nik Nazira Narriman apabila tiada lagi gambar bersama isterinya.

Menurut wakil Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar, penyanyi terbabit cuma meminta diberikan ruang untuk menenangkan diri sebelum kembali bekerja.

“Selaku wakil pengurusannya, saya ingin maklumkan Yonny berada dalam keadaan baik dan memohon diberi ruang seketika sebelum kembali aktif dalam karier seni.

“Apabila sampai masa nanti, Yonny akan kembali,” katanya mengulas ‘kehilangan’ penyanyi berusia 25 tahun itu dalam Instagram.

Begitupun, akaun TikTok penyanyi itu masih seperti sedia kala dengan hantara terbaharu adalah pada dua hari lalu.

Sebelum ini, pelantun lagu Sakit itu pernah mendedahkan berdepan masalah kemurungan dan ADHD atau gangguan hiperaktif deficit.

Malah, kebanyakan lagu ciptaannya menjurus kepada luahan perasaan, selain menyuntik kesedaran terhadap isu kesihatan mental.

Namun, kehadiran Nik Nazira yang dikahwini pada 20 November 2021 dikatakan membuatkan kehidupan Yonny semakin baik.

Lebih bermakna apabila pasangan tersebut mengumumkan khabar gembira kelahiran anak sulung mereka yang dinamakan Kairo.

Dalam rancak netizen memperkatakan tindakannya itu, ada pemerhati menganggapnya sebagai gimik promosi lagu baharu.

Kali terakhir Yonny muncul dengan single Flash & Dash, berkolaborasi dengan Guccismith kira-kira tiga bulan lalu yang meraih 200,000 tontonan di YouTube.

Sementara itu, usaha menghubungi penyanyi itu tidak berjaya apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok