FILEM Onpaku merupakan naskhah bertunjangkan latar belakang ritual dan kepercayaan segelintir masyarakat Jepun yang mungkin belum pernah didedahkan kepada dunia sebelum ini.
Karya asal Jepun yang sarat elemen pemujaan dan psiko seram tersebut dijangka bakal menjangkau ekspektasi pencinta filem tanah air apabila turut menyuntik elemen mistik dalam budaya.
Garapan pengarah hebat Shugo Fujii yang juga sutradara Jepun pertama merangkul trofi Asian Grand Prix di Festival Filem Brussels International Fantastic itu pastinya membawa penonton meresapi alur cerita demi membongkar seribu satu rahsia.
Kegilaan dan ketaksuban
Menurut Shugo, mesej utama yang ingin disampaikan kepada penonton melalui filem Onpaku atau bermaksud dendam kesumat adalah mengenai ketaksuban serta realiti kehidupan manusia.
“Sebagai seorang pengarah, saya mahu pamerkan gelora emosi dari segi kegilaan dan ketaksuban insan terhadap sesuatu perkara.
“Saya mahu tonjolkan kesedihan, kegembiraan dan kesengsaraan untuk membuka minda penonton supaya lebih peka terhadap kehidupan manusia sebenar dan isu sosial.
“Menerusi filem ini, penonton dapat lihat betapa ekstremnya seseorang jika terlalu taksub atau berpegang kepada sesuatu yang dirasakan betul,” jelasnya.
Berkenaan cabaran pembikinan filem pula, Shugo berkata, keadaan set penggambaran ‘minipaku’ (tempat penginapan) itu sendiri menyuntik suasana menyeramkan kerana sudah lama tidak dihuni.
“Minipaku yang kami guna sudah 20 tahun terbiar. Cabarannya adalah untuk membersihkan tempat tersebut supaya proses penggambaran tidak terganggu dengan habuk.
“Banyak perkara tidak dijangka berlaku yang sangat menakutkan, namun saya puas hati kerana tempat itu sangat sesuai dengan jalan cerita filem ini,” ujarnya panjang lebar.
Penjiwaan watak – Josie Ho
Beralih kepada pelakon pula, Josie Ho selaku penggalas watak Sarah mengakui watak digalas menuntut penjiwaan mendalam seperti tuntutan skrip dan pengarah.
“Saya banyak membuat ulang kaji untuk mengembangkan watak kerana naskhah ini sangat berbeza dengan filem lain dari segi garapan pengkisahan.
“Watak Sarah macam roller coaster kerana emosinya berbolak-balik malah permainan dinamik dalam penjiwaan juga perlu diteliti supaya tidak terkurang mahupun berlebihan.
“Saya juga kena pandai mainkan intonasi. Jeritan ketakutan ada pelbagai lapisan, jadi sebagai pelakon saya perlu berikan jeritan tepat seiring dengan mimik muka supaya lakonan sampai kepada penonton,” katanya.
Ditanya berapa lama tempoh yang diambil untuk benar-benar menjiwai watak, Josie berkata, karakter Sarah itu bagaikan secara automatik meresap ke dalam tubuhnya setiap kali dia tiba di set penggambaran.
“Sejujurnya setiap kali di lokasi penggambaran, saya secara semula jadi dapat menjiwai seolah-olah watak tersebut masuk ke dalam tubuh saya.
“Ditambah pula dengan prop dan tempat penggambaran yang begitu seram seiring bantuan pengarah dan pelakon lain, watak itu hidup dengan sendirinya,” jelasnya.
Pelakon berusia 39 tahun itu sempat berkongsi bahawa dirinya juga penggemar cerita seram tegar yang secara tidak langsung membantunya menjayakan karakter dengan baik.
“Saya gemar menonton filem seram, bahkan pernah menjadi juri untuk menilai naskhah genre seram. Saya rasa itu turut menyumbang kepada percambahan teknik lakonan dalam diri saya,” katanya.
Onpaku turut ditunjangi barisan pelakon hebat lain termasuk Lawrence Chou serta bintang popular Jepun, Kazuya Takahashi.
Menariknya, Onpaku ditayangkan serentak di Malaysia, Thailand, Singapura, Taiwan dan Hong Kong serentak bermula semalam (31 Ogos 2023).
Filem tersebut mengisahkan Sarah yang membuat pelaburan hartanah selain menikmati percutian singkat untuk mencari ketenangan selepas berpisah dengan kekasihnya. – HIBGLAM