Neelofa terkilan tadika tak benar akses CCTV pantau Bilal

SELEBRITI terkenal Neelofa menzahirkan rasa kecewa apabila prasekolah yang dirancang untuk menghantar anak sulungnya, Muhammad Bilal, 2, minggu depan tidak memberi akses menonton kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti di sekolah.

Menurut pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 33, peraturan yang dikenakan oleh sekolah tersebut berbeza dengan pusat pendidikan anak rakannya yang memberi kebenaran untuk memantau daripada CCTV.

“Minggu depan Bilal akan mula bersekolah dan saya bertanya sama ada ibu bapa boleh mengakses CCTV kerana kawan saya boleh melakukan perkara tersebut di sekolah anaknya pada bila-bila masa sahaja.

“Malangnya, sekolah yang saya rancang untuk menghantar Bilal tidak membenarkan perkara tersebut,” katanya dalam InstaStory semalam.

TANGKAP layar laporan berita yang dimuat naik Neelofa di InstaStory miliknya. 

 

Menerusi perkongsian sama, dia turut memuat naik tangkap layar laporan berita yang memaklumkan semua tadika dan pra sekolah perlu menggunakan CCTV bermula Julai 2024.

Laporan tersebut juga memberitahu ibu bapa boleh meminta izin untuk mengakses CCTV untuk pemantauan.

Susulan daripada perkongsian bekas pengacara MeleTOP itu, ramai menyarankan Bilal bersekolah dari rumah.

“Terlalu kecil untuk dihantar ke sekolah, homeschool sahajalah.

“Kenapa tadika tak beri akses CCTV ya sedangkan sudah bayar mahal, sekarang sudahlah banyak kes dera,” demikian antara komen netizen.

Terdahulu, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas yang dilahirkan pada 11 Julai lalu. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok