[VIDEO] Neelofa malas ambil tahu gosip Nabila, Engku Emran

“SAYA tak suka nak ambil tahu. Malas!”

Demikian respons selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa yang kurang selesa mengulas gosip membabitkan rumah tangga kakaknya, Noor Nabila dengan Engku Emran.

Katanya, walaupun adik beradik, dia mengambil pendekatan tidak melayan desas-desus sebaliknya mendoakan yang terbaik buat seisi keluarga.

“Saya tak suka nak ambil tahu. Malas! Kita adik-beradik memang sentiasa mendoakan yang terbaik, dalam apa-apa keadaan sekali pun. Bahagia ke, tak bahagia ke kita doakan yang terbaik.

“Sesungguhnya saya tak ambil tahu dan tak pernah tanya pun,” katanya ketika ditemui HibGlam pada pelancaran kolaborasi Disney x Naelofar, petang tadi.

Diminta mengulas sama ada Noor Nabila ada meluahkan isi hati, Neelofa berkata, kakaknya itu tidak pernah berbuat demikian.

Malah akui isteri kepada PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail itu, setakat ini dia tidak nampak sebarang perubahan emosi kakaknya.

“Kalau (cerita) dengan saya tidak, tetapi mungkin dengan adik beradik lain. Dia pun tahu saya ada banyak perkara lain yang kena fokus.

“Sepanjang tempoh ini dia biasa sahaja, jadi saya pun tak tanya. Kecuali kalau dia telefon saya secara peribadi dan cerita, itu lainlah,” katanya.

Bekas hos program MeleTop itu membalas pertanyaan media berikutan tindakan abang iparnya memadam foto Noor Nabila, sekali gus menghangatkan kembali khabar angin perpisahan mereka.

Terdahulu, sekitar Februari lalu tercetus desas-desus perkahwinan pasangan terbabit di ambang perpisahan apabila dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung.

Gosip berkenaan reda seketika sehingga baru-baru ini kembali hangat diperkatakan selepas Engku Emran tidak kelihatan di majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak tirinya, Jebat Jayden.

Kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu adalah zuriat hasil perkahwinan Noor Nabila dengan aktor Sharnaaz Ahmad yang berpisah pada 9 Julai 2020.

Sebelum ini Engku Emran pernah bergelar suami kepada aktres Erra Fazira serta pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella, tetapi kedua-dua perkahwinan itu kecundang di tengah jalan.  – HIBGLAM

@hibglam.com.my “Tak tahu, tak suka, malas,” ulas usahawan selebriti, Neelofa berhubung gosip keberantakan rumah tangga kakaknya, Noor Nabila dan Engku Emran yang kini kembali hangat diperkatakan. . Video HANISAH SELAMAT #neelofa #noornabila #engkuemran #spekulasperceraiannabilaemran #gosipartis #cerai #hibglam #hiburansensasikangayahidup ♬ original sound – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok